Hanya 10.4% Melayu mengundi berdasarkan RUU 355, 70.1% tidak tahu

Hanya 10.4% Melayu mengundi berdasarkan RUU 355, 70.1% tidak tahu

Kajiselidik yang dilakukan Invoke, sebuah badan penyelidikan bebas mendapati hanya 10.4% pengundi Melayu/Bumiputera Islam yang akan mengundi berpandukan kepada keputusan Rang Undang-undang 355 (RUU355) manakala 54.3% dari pengundi Melayu/Bumiputera Islam yang berhasrat mengundi Pas tidak tahu mengenai RUU355.

Malah 70.1% atau 30,173 orang pengundi Melayu/Bumiputera Islam langsung tidak tahu mengenai RUU355 manakala 19.5% pengundi Melayu/Bumiputera Islam, walaupun tahu mengenai RUU355, merasakan ia bukan isu penentu undi dalam PRU14.

Keputusan kajiselidik Invoke itu disertai 43,030 orang pengundi Melayu/Bumiputera Islam yang ditanya mengenai pengaruh RUU355 ke atas pilihan undi.

Laporan penuh “Kajiselidik Sentimen Pengundi Mengenai RUU355” boleh dicapai di https://www.facebook.com/rafiziramli.keadilan/; atau blog Rafizi Ramli di http://rafiziramli.com/; atau laman I-CPI di https://cpi.invokemalaysia.org/
 
Menurut kenyataan media Invoke yang dikeluarkan pengasasnya, Rafizi Ramli hari ini, kajian itu dilakukan ekoran polemik politik mengenai usul RUU355 untuk menaikkan had hukuman yang boleh dijatuhkan oleh mahkamah syariah telah menjadi isu politik nasional.

“Banyak keputusan politik yang telah dan akan dibuat oleh ahli politik, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat umumnya berkisar kepada pendirian menyokong/tidak menyokong RUU355.

“Kajiselidik ini bertujuan menentukan secara kuantitatif sejauh mana pengaruh RUU355 dalam menentukan undi pengundi Melayu/ Bumiputera Islam dalam pilihan raya umum akan datang (PRU14),” kenyataan media itu dipetik.

Invoke menjelaskan, seramai 1.1 juta pengundi Melayu/Islam Bumiputera ditelefon secara rawak menggunakan sistem interaktif suara (lebih dikenali sebagai “Interactive Voice Response” sistem atau IVR) yang dibangunkan sendiri oleh I-CPI.

Responden akan ditanya soalan dan pengundi akan menekan butang telefon untuk merekodkan jawapan. Contoh – “Tekan 1 untuk “Ya”, Tekan 2 untuk “Tidak”. Jawapan yang diberikan oleh responden akan direkodkan terus oleh sistem IVR di dalam server I-CPI.

Sistem IVR telah diprogram untuk menelefon pengundi yang melambangkan pecahan pengundi di setiap negeri. Sekiranya kadar jawapan di satu negeri itu rendah, sistem IVR akan mendail lebih banyak pengundi di negeri itu agar jumlah responden dari negeri itu sama dengan peratusan pengundi keseluruhan di negeri itu.

Responden turut memasukkan maklumat seperti jantina, umur dan poskod kawasan.

Keseluruhan kajiselidik mengambil masa satu setengah minit.

Polemik berhubung RUU 335 berterusan apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi mengumumkan kerajaan akan membentangkan sendiri rang undang-undang itu di Dewan Rakyat setelah Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang menangguhkan pembentangan usul sebanyak dua kali pada dua sesi parlimen lalu.

COMMENTS

Wordpress (0)