Hanya 17 peratus MP hadir sidang Dewan Rakyat malam tadi

Lebih banyak kerusi kosong daripada MP pada sidang Dewan Rakyat pada 9 malam, 25 Julai.

Timbalan Menteri Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin memberitahu terdapat 38 Ahli Parlimen (MP) berada dalam sidang Dewan Rakyat setakat 9 malam tadi.

Ketua Bersatu Bahagian Ketereh, Kelantan itu berkata, MP Pakatan Harapan (PH) seramai 32 orang manakala Pas (4) dan dua lagi MP dari Umno.

Kehadiran itu hanya mewakili 17 peratus daripada keseluruhan 222 Ahli Parlimen.

“Berat mata memandang berat lagi bahu memikul,” tulisnya di Facebook sambil memberitahu sidang dewan dilanjutkan sehingga jam 9.15 malam.

Dr Radzi Md Jidin

Ekoran itu, rata-rata komentar berpendapat kerajaan perlu meneliti semula waktu persidangan Dewan Rakyat agar lebih munasabah.

Pengguna Facebook Mohd Anuar berkata, “Rasanya kurang praktikal sidang sampai malam. Elok tangguh jam 6 petang sahaja. Lewat-lewat pun bukan boleh fokus kepada isi persidangan.”

Bagi Denzel Loo pula berpendapat tiada gunanya berada di Parlimen ketika majoriti ahli tidak hadir.

“Mengapa seret waktu hingga malam? Orang juga ada kehidupan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Sabri Ismail menyarankan jumlah hari bersidang ditambah daripada 20 kepada 30 hari dengan mengambil kira keupayaan untuk seorang Ahli Parlimen kekal bertenaga.

“Tak perlu sampai malam kerana waktu malam untuk berehat sebelum menyambung tugas keesokkannya pula. Waktu yang produktif cuma jam 9 hingga 5.30 petang,” ujarnya.

Tidak kurang juga yang bertanyakan tentang kehadiran menteri yang mengemukakan usul agar dewan bersidang hingga malam.

“Menteri yang usul dewan bersidang sampai malam ada hadir?” soal Mogan Raaj.

Untuk rekod, 98 daripada 222 Ahli Parlimen dalam Mesyuarat Parlimen Ke-14 adalah muka baharu selepas PH mendapat mandat selepas 61 tahun BN menjadi parti pemerintah.

Pada mulanya, PH yang disertai PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu menguasai 124 kerusi manakala BN memperoleh 79 kerusi.

Bagaimanapun tiga daripada 54 ahli Parlimen Umno mengisytihar menjadi ahli Parlimen Bebas manakala 19 ahli Parlimen daripada gabungan parti Sarawak iaitu PBB, SPDP, SUPP dan PRS keluar dari BN.

Keputusan tersebut menyebabkan BN kini mempunyai 54 kerusi di Dewan Rakyat.

9.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 8.0
CATEGORIES
TAGS