Hanya 2 peratus daripada 11 peratus caruman suami untuk simpanan isteri

Hanya 2 peratus daripada 11 peratus caruman suami untuk simpanan isteri

Cadangan mewujudkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada golongan suri rumah tidak melibatkan caruman tambahan dipotong daripada gaji suami, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata, sebaliknya hanya dua peratus daripada 11 peratus gaji suami yang dicarumkan kepada KWSP dicadang dipotong untuk tujuan itu.

“Kita tidak ambil tambahan, hanya ambil daripada 11 peratus. Bagilah pengiktirafan kepada wanita,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Rumah Ehsan untuk warga emas di Kuala Kubu Bharu hari ini lapor Bernama.

Dr Wan Azizah berkata kementerian akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan pada Khamis bagi membincangkan mekanisme pelaksanaan pemotongan caruman tersebut.

Antara perkara yang akan diberi perhatian ialah soal suami yang mempunyai isteri lebih daripada satu.

Caruman KWSP kepada golongan suri rumah merupakan antara janji Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum lalu. Dr Wan Azizah merupakan Presiden.

Selain caruman daripada pendapatan suami, cadangan itu turut melibatkan RM50 daripada kerajaan.