Malaysia Dateline

Hanya 36 peratus daftar vaksin, kerajaan Johor perlu bantu rakyat percepat pendaftaran

Jika kerajaan ingin membuka semula sempadan negara antara Malaysia-Singapura, kesemua ahli politik di Johor perlu menggunakan pendekatan ‘seluruh masyarakat’ dan ‘semua pemerintah’ untuk mempercepatkan pendaftaran orang ramai agar mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, ini kerana hanya 36 peratus atau 1.04 juta rakyat Johor yang dilaporkan telah mendaftar untuk program vaksinasi yang dijalankan di negeri itu.

Menurutnya, selain isu keraguan dalam kalangan rakyat Johor untuk mendapatkan suntikan imunisasi, kebanyakan warga tua dari luar bandar juga didapati tidak mahir menggunakan teknologi untuk melakukan pendaftaran vaksinasi.

“Ini dibuktikan oleh statistik di seluruh negara bahawa daerah-daerah urban seperti Johor Bahru dan Kulai mempunyai kadar pendaftaran yang lebih tinggi.

“Tetapi daerah-daerah lain dengan populasi pekerja muda yang lebih rendah dan masyarakat luar bandar yang lebih besar, mempunyai kadar pendaftaran yang lebih rendah,” katanya selain memaklumkan pihaknya sendiri telah menganjurkan 20 program pendaftaran vaksin secara bergerak di kampung-kampung.

Sementara itu Wong berkata, jurang digital antara bandar dan luar bandar menjadi rintangan bagi kerajaan negeri untuk mencapai kadar pendaftaran vaksin yang lebih tinggi.

Bahkan katanya, mungkin menghalang mereka untuk mencapai kadar imunisasi tertinggi jika tidak menggunakan pendekatan ‘seluruh masyarakat’ dan ‘semua pemerintah’ untuk mengatasinya.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri perlu segera meningkatkan usaha dan mengarahkan semua ahli majlis serta ketua-ketua kampung yang dilantik untuk menggerakkan proses membantu masyarakat kampung mendaftar dalam program suntikan vaksin.

“Sudah tiba masanya semua pelantikan politik bekerja sekarang setelah pertengkaran merebut jawatan.

“Kita harus jelas sekarang bahawa lebih awal kita mencapai kadar imunisasi yang tinggi, semakin cepat kita dapat pulihkan kemerosotan ekonomi,” ujarnya.