Hanya 40% untuk prestasi menteri AMANAH, kata Agus

Hanya 40% untuk prestasi menteri AMANAH, kata Agus

Penganalisis politik, Profesor Mohammad Agus Yusoff berkata, beliau memberikan purata 40 peratus sahaja kepada prestasi lima menteri AMANAH dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Menteri AMANAH lima orang. Saya beri purata prestasi mereka 40%, dengan Datuk Seri Dr Dzulkifley terbaik antara lima. Terbaik kerana beliau menjawab di parlimen dengan baik dan substantif. Yang lain-lain seadanya sahaja. Ada tidak menguntungkan, tiada tidak merugikan,” tulis beliau dalam Facebooknya semalam.

Kata beliau, seorang menteri AMANAH, semasa menjawab soalan di Dewan, suka mengulang perkataan “saya sekarang menteri. Tak cukup peruntukan, saya akan bincang dengan Menteri Kewangan.”

Soalan asal dari MP Pembangkang berbelit-belit dijawabnya. Program kementerian banyak yang dirancang, tetapi tiada yang luar biasa, berterusan retorik, katanya.

“Seorang menteri lagi, suka bercakap. Semua hal hendak dijawabnya, pantang wartawan tanya. Sebab itulah jawapan selalu tersasul sehingga ada yang mencetuskan kontroversi. Polisi baharu tidak ada. Klise sahaja.

“Sebab terjadi begini kerana menteri tidak cekap dan pegawai serta penasihatnya pun sama. Maka, beginilah jadinya.

“Tiga lagi menteri saya belum mahu komen,” kata beliau.

Ujar Agus, jika sikap menteri AMANAH berterusan seperti ini, beliau berharap sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, mereka ini diganti dengan individu lain.

Jelasnya, gejala sindrom penafian dan ‘syok sendiri’ yang beliau fikir hanya berlaku kepada menteri Umno sahaja kini berjangkit kepada pemimpin AMANAH.

“AMANAH jika mahu terus survive, perlu bertapak kukuh di Kelantan dan Terengganu. Malangnya, saya perhatikan AMANAH di dua negeri ini seperti hidup segan mati tak mahu.

“Jika begini senarionya, selepas PRU-15 nanti, semakin hilanglah AMANAH dari radar peta politik negara,” katanya lagi.