Malaysia Dateline

Hanya 5 minit selepas setahun negara dilanda krisis pandemik

Selepas tujuh bulan, kami kembali ke Parlimen. Walaupun asalnya tidak dibenarkan untuk berbahas, saya tetap menyediakan ucapan 15 muka surat dengan lebih 20 perkara untuk dibangkitkan kepada kerajaan tentang pengurusan Covid-19 dan ekonomi negara.

Selepas digesa pembangkang, Speaker akhirnya membenarkan perbahasan oleh Ahli Parlimen.

Saya diberi peluang sebagai pembahas pertama daripada DAP. Namun, agak kecewa kerana hanya diberi masa 5 minit.

5 minit.

Bayangkan, sudah setahun negara berada dalam krisis, kerajaan telah gagal dalam pengurusan krisis, dan Ahli Parlimen pula hanya diberi masa 5 minit untuk menyuarakan keluhan rakyat.

Saya ambil masa 5 minit itu untuk:

✅ Menggesa kerajaan memberi penjelasan jujur tentang isu Darurat dan tindakan senyap-senyap memansuhkan Ordinan Darurat.

✅ Menggesa kerajaan memberikan tarikh temujanji vaksin munasabah kepada semua yang sudah mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan belum menerima vaksin sebelum Ogos 2021.

✅ Mencadangkan Dana Kelangsungan Industri Sukan sebanyak RM 100 juta untuk menyelamatkan sektor sukan.

✅ Menolak moratorium Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) sebagai tidak menepati kehendak rakyat dan tidak memanfaatkan golongan yang paling memerlukan. Sebaliknya, kerajaan patut melaksanakan moratorium automatik, tanpa syarat dan tanpa faedah.

✅ Menggesa kerajaan mengembalikan peruntukan kawasan Parlimen RM4 juta setahun kepada semua Ahli Parlimen dan memberi kelonggaran untuk digunakan berdasarkan keperluan semasa, bukan terhad kepada bantuan makanan.

✅ Menyoal status janji 150,000 laptop kepada para pelajar sekolah.

Di akhir sidang hari ini, kami dikecewakan sekali lagi apabila Perdana Menteri yang sepatutnya menjawab perbahasan tidak hadir untuk menjawab, sebaliknya mewakilkan Menteri Kewangan.

Menteri Kewangan pula tidak menjawab isu-isu yang saya bangkitkan dan terpaksa menunggu jawapan bertulis daripada kerajaan.

Walaupun kecewa dan tidak puas hati, namun saya bersyukur dapat menyuarakan isu-isu rakyat dan akan terus berusaha untuk membangkitkan perkara-perkara lain sepanjang sidang Parlimen minggu ini.

*STEVEN SIM merupakan Ahli Parlimen Bukit Mertajam dari DAP.