Malaysia Dateline

Hanya 80 ahli Parlimen dibenar hadir untuk Belanjawan 2021 esok

Hanya 80 ahli Parlimen sahaja dibenarkan berada di dalam Dewan Rakyat pada satu-satu masa sepanjang tempoh persidangan Mesyuarat Ketiga yang akan bermula Jumaat ini.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, had ini termasuklah untuk sesi Pembentangan Belanjawan 2021 esok.

Katanya, daripada jumlah tersebut, 41 ahli Parlimen akan mewakili kerajaan sementara 39 lagi mewakili ahli Parlimen Pembangkang dan Bebas.

“Penentuan ahli Parlimen yang boleh berada dalam Dewan akan ditetapkan oleh parti masing-masing.

“Setiausaha Dewan Rakyat akan memberikan Kad Khas tersebut kepada Yang Berhormat Kota Bharu untuk selaraskan kehadiran di pihak Anggota Pentadbiran dan ahli-ahli backbenchers.

“Manakala, di pihak pembangkang, Kad Khas ini akan diberikan kepada Yang Berhormat Sungai Petani untuk kehadiran Ahli-Ahli Pembangkang dan Bebas,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Rashid, perkara itu telah diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat berikutan penularan wabak Covid-19 semalam yang turut dihadiri Ketua Whip parti.

Beliau juga menasihati ahli-ahli Parlimen yang diberikan Kad Khas untuk merekodkan kehadiran di komputer riba masing-masing.

“Ahli-ahli berhormat yang tidak diberikan Kad Khas pula boleh merekodkan kehadiran di Pintu 3 Blok Utama dan pintu masuk Blok Ahli Parlimen dan Pentadbiran dengan bantuan Bentara yang ditugaskan di kedua-dua pintu tersebut untuk mencatatkan kehadiran ahli-ahli berhormat,” katanya.