Malaysia Dateline

Hanya Belanjawan Perpaduan berjaya atasi krisis dalam negara, kata DAP

Kerajaan terlepas peluang untuk Belanjawan Perpaduan dengan belanjawan yang tidak memenuhi enam cadangan utama Pakatan Harapan dan unjuran yang tidak realistik, demikian menurut DAP.

Setiausaha Agung Lim Guan Eng berkata, langkah kewangan separuh jalan dan pemberian politik di mana peningkatan 8.6% pada Belanjawan 2021 tidak dirasai oleh semua segmen masyarakat Malaysia.

Katanya, DAP sangat kecewa apabila tidak ada pelanjutan automatik moratorium pinjaman bank sehingga ke kumpulan M40 meliputi pinjaman sewa beli dan pinjaman perumahan masing-masing harus membayar faedah dan faedah terkumpul mulai Oktober baru-baru ini.

Selain itu katanya, negara sedang berdepan tiga krisis iaitu pandemik kesihatan global COVID-19, krisis ekonomi dengan pengangguran dan kemelestan yang teruk dan krisis politik di mana kerajaan Perikatan Nasional sekarang kehilangan majoriti parlimennya.

“Dalam keadaan ini Belanjawan 2021 ternyata ‘urusan seperti biasa’ tanpa menangani tiga krisi ini terutama memerangi krisis kesihatan dan ekonomi paling teruk,” katanya dalam kenyataan.

Bahkan katanya, kerajaan bukan sahaja tidak menyahut seruan ke arah Belanjawan Perpaduan sebaliknya peruntukan RM85.5 juta diberika kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) telah menimbulkan kemarahan rakyat.

“Bukankah lebih baik RM85.5 juta dibelanjakan untuk sekolah-sekolah daif yang hanya diberikan RM58 juta atau kemudahan penjagaan kanak-kanak barisan hadapan (RM30 juta).

“Semasa pemerintahan BN,  JASA diberikan RM20 juta setahun sementara Pakatan Harapan memansuhkan agensi itu sama sekali.

“Dalam demokrasi tidak ada tempat untuk agensi propaganda yang menggunakan dana awam untuk menyebarkan pembohongan dan berita palsu,” ujarnya.

Beliau meminta Perdana Menteri dan kerajaan segera memberi komitmen secara terbuka untuk menarik balik peruntukan kepada JASA sekiranya kerajaan ikhlas ingin melaksanakan Belanjawan Perpaduan.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan mendesak sekiranya kerajaan serius untuk meluluskan Belanjawan Perpaduan, perbincangan lebih lanjut harus dilakukan dengan parti-parti Pembangkang dan Ahli Parlimen penyokong Kerajaan mengenai cadangan alternatif dan pindaan Belanjawan 2021 daripada sekarang hingga 25 November apabila undian di Peringkat Dasar akan dijalankan di Parlimen.

DAP juga menentang pemotongan besar-besaran kepada belanjawan kesihatan bukan COVID-19, ini kerana kebanyakkan rakyat Malaysia bergantung kepada perkhidmatan kesihatan kerajaan untuk bantuan kerana ramai yang tidak mampu mendapat rawatan di klinik swasta.

“Pemotongan ini mengejutkan dan kejam. Di tengah-tengah COVID keperluan untuk memastikan kesihatan rakyat Malaysia dijaga dengan baik dan sangat pentinlg,” katanya.

Justeru katanya, hanya Belanjawan Perpaduan dengan bantuan dan sokongan yang tepat kepada rakyat biasa dan syarikat Malaysia dapat berjaya mengatasi tiga krisis ketidakstabilan politik, krisis kesihatan dan ekonomi COVID-19.