Hanya calon Amanah komited tolak Najib yang penuh skandal

Hanya calon Amanah komited tolak Najib yang penuh skandal

Pengundi bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar mesti menunjukkan bantahan terhadap skandal perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan mengundi calon yang menolak kepimpinannya iaitu calon Amanah.

Naib presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, hanya calon Amanah mewakili Pakatan Harapan sahaja yang komited untuk menyelamatkan negara dan membantah tindakan Najib dan kabinetnya dalam penyelewengan wang negara yang memalukan Malaysia di mata dunia.

Menurut beliau, kerajaan Umno-BN akhir-akhir ini telah mengancam dan menggugat institusi negara dengan Najib mengamalkan salah guna kuasa untuk kepentingan dirinya.

Dalam sidang media di pejabat Amanah Kuala Kangsar hari ini, Mujahid menyenaraikan salah guna kuasa khususnya untuk menutup skandal terbesar negara yang menelan kos RM50 bilion dalam skandal 1MDB dan sumbangan ke dalam akaun peribadi beliau bernilai RM4.2 bilion.

Salah guna kuasa tersebut menurut Mujahid adalah:

1. Menamatkan khidmat Peguam Negara lebih awal yang merupakan pengerusi jawatankuasa siasatan kes 1MDB dengan menggantikan yang baru. Kertas siasatan telah disediakan untuk mendakwa PM atas salahguna kuasa tetapi hingga kini Peguam Negara yang baru tidak mengambil apa-apa tindakan.

2. Membubarkan Jawatankuasa Kira-Kira Awam Parlimen secara tidak langsung dengan melantik pengerusinya YB Dato’ Jazlan Mohammad Rahmat dan beberapa anggota dari BN sebagai anggota kabinet. Jawatankuasa tersebut yang sudah memulakan siasatan dan hampir menyiapkan laporan, terbubar menyebabkan perlantikan baru terpaksa dibuat oleh Parlimen dalam jarak masa yang lama.

3. Memindahkan anggota yang menyiasat skandal 1MDB dari SPRM dan Polis dengan campurtangan siasatan yang PM ada kepentingan.

4. Menggunakan undang-undang SOSMA ke atas pengadu yang mahu kes 1MDB diselesaikan seperti DS Khairudin Abu Hasan dan peguamnya Mathias Chang. Salahguna undang-undang ini amat serius kerana SOSMA digunakan untuk menangani keganasan bukan untuk memangsakan pengadu terhadap penyelewengan dan salahurus kewangan negara.

5. Meletakkan laporan Jabatan Audit Negara tentang 1MDB bawah Akta Rahsia Resmi Kerajaan (OSA) sekaligus menyalahgunakan akta rahsia resmi untuk sembunyikan penyelewengan. Kenapa perlu osa kalau dana 1MDB tidak diselewengkan?

6. Akta Majlis Keselamatan Negara memberikan kuasa besar kepada PM sekaligus mengurangkan kuasa isytihar darurat YDPA walaupun majlis raja-raja minta untuk diperhalusi lagi. Kini akta MKN secara otomatik digazetkan selepas 30 hari diserahkan kepada YDPA walaupun tanpa tanda tangan persetujuan Agong.

Bagi Mujahid, semua media di seluruh dunia sudah melaporkan mengenai penyelewengan ini dan ia tidak ragu-ragu lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)