Malaysia Dateline

Hanya DAP perlu dilawan, kini ‘Tok Mopti’ tidak berbunyi lagi

Negara tenang dari isu perkauman dan agama sekarang kerana pencetus dan pemainnya sudah tercapai hasrat, tujuan dan hajat mereka termasuk Tok Mopti sendiri.

Parti-parti yang aktif membangkitkan emosi perkauman dan sentimen keagamaan semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah kini telah mendapat habuan masing-masing, sudah menjadi menteri, pegang syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan dedak penuh mulut. Tiada siapa lagi yang mahu mainkan isu agama dan kaum.

Saya ambil beberapa contoh isu-isu yang Tok Mopti sendiri bangkitkan semasa PH memerintah antaranya isu sekolah vernakular. Tok Mopti cadangkan supaya dihapuskan sekolah vernakular dan diwujudkan sekolah satu aliran sahaja.

Namun, akhirnya pada 25 Ogos 2020 di Dewan Rakyat, Menteri Perpaduan PN mengumumkan dengan tegas bahawa sekolah vernakular tidak akan dihapuskan.

Bahkan rancangan pembinaan 10 sekolah vernakular baru yang ditangguhkan zaman PH memerintah dahulu akan diteruskan oleh kerajaan PN. Namun ini mungkin bagi Tok Mopti sudah tidak menjadi isu lagi kerana kerajaan PH sudah pun jatuh.

Isu Dong Zong yang Tok Mopti mengajak rakyat menandatangani petisyen untuk mengharamkannya di zaman PH dulu kini masih belum diharamkan.

Bahkan, Timbalan Menteri Pendidikan Kerajaan PN dari MCA yang juga menentang dan memimpin gerakan anti jawi tidak sampai 24 jam mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara mengesahkan akan bekerjasama dengan Dong Zong dan Jiao Zong dalam isu pendidikan Cina.

Tiada kedengaran lagi Tok Mopti menyebut tentang Dong Zong. Hanya zaman PH sahaja ia dikira mengancam perpaduan negara.

Kempen BMF yang dicanang serata negara dan disokong oleh Tok Mopti, apa kesudahannya?

Kerajaan PH dulu dituduh tidak mesra BMF. Kerajaan PN yang disokong oleh Tok Mopti sepatutnya menjadikan BMF sebagai dasar kerajaan.

Namun, sayang ia diketepikan dan digantikan dengan kempen “Buy Malaysia” yang sama dengan kempen “Beli Barangan Buatan Malaysia” yang digerakkan oleh kerajaan PH.

Jelas sekali BMF ini hanya modal politik untuk serang kerajaan PH saja. Bila jatuh PH tidak kedengaran lagi BMF.

Jadi menteri

Semasa PH memerintah dulu juga, Tok Mopti pernah meminta supaya kerajaan lakukan proses yang telus terhadap pendakwaan pengganas LTTE.

LTTE diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas maka mereka perlu dilayan sebagai pengganas. Apabila PN naik memegang kuasa, kerajaan PN tidak pula membuka balik kes LTTE zaman PH dulu.

Sebaliknya, kerajaan PN telah melantik penyokong tahanan LTTE menjadi menteri dan kekal sebagai YDP Dewan Negara. Tiada pula kedengaran komen Tok Mopti tentang LTTE lagi.

Boleh jadi yang perlu dilawan hanyalah DAP sahaja. Walaupun ada pimpinan MIC bersama dengan bekas tahanan LTTE, memberi khidmat guaman dan mendakwa LTTE itu bukan gerakan penganas ia tidak mengapa.

Mungkin Tok Mopti mendakwa kerajaan PN akan membela Melayu dan Islam bukan seperti kerajaan PH yang tunduk kepada DAP, non Muslim dan Rahmatan Lil Kafirin sebagaimana kata Tok Mopti.

Namun, sebaliknya apabila PN merampas kuasa PN melantik pemimpin MCA yang pernah ketuai bantahan terhadap Jawi, RUU355 dan hudud menguasai pelabuhan-pelabuhan strategik negara Klang, Pulau Pinang dan Melaka.

Bukan setakat itu kerajaan PN terus meminggirkan Melayu apabila CEO Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia berbangsa Melayu ditamatkan dan diganti dengan Cina dan juga beberapa GLC lain.

Pemimpin MCA yang menentang hukum hudud dan pernah menegaskan “MCA sentiasa menentang hudud” dan pernah isytihar akan keluar Malaysia jika hukum Allah dilaksanakan dilantik oleh kerajaan PN sebagai Timbalan Menteri Perpaduan.

Bahkan Menteri Pengangkutan kerajaan PN dari MCA dengan berani menyebut: “Saya tak mahu dengar orang kata PN kerajaan melayu Islam”.

Semuanya senyap dalam menghadapi semua itu termasuk Tok Mopti. Barangkali kerana ia berlaku dalam kerajaan PN yang disokong Tok Mopti.

Isu kemalangan pemandu mabuk, Tok Mofti cadangkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebat semasa PH memerintah.

Walaupun naik kerajaan PN yang dikatakan lebih baik dari segala kerajaan, cadangan Tok Mofti itu hilang entah ke mana.

Bahkan bilangan pemandu mabuk sejak PN memerintah sangat mengerunkan. Bilangan kes sejak Mac hingga Jun 2020 sahaja selepas empat bulan PN memerintah sebanyak 99 kes.

Dalam keadaan PKP, tidak boleh rentas negeri dan kedai tutup jumlah itu sangatlah tinggi. Pun begitu kerajaan PN tidak dipersalahkan sebagaimana kerajaan PH.

Tok Mopti tidak marah kerajaan PN dan isu pemandu mabuk tidak berbunyi lagi seolah-olah ia selesai sebaik sahaja kerajaan PH bertukar.

Senyap ‘tupah’

Isu maksiat judi dan sumber cukai haram kerajaan. Semasa Menteri Kewangan PH dari DAP telah tunaikan janjinya mengurangkan dari 22 cabutan khas judi setahun kepada lapan kali setahun.

Setelah PN berkuasa bukan setakat judi tidak dihapuskan bahkan dinaikkan menjadi 22 cabutan setahun bermula 2021.

Padahal, Menteri Kewangan PN Melayu Islam, Menteri Agama dan Menteri Undang-undang juga Melayu Islam. Jika berlaku pada zaman PH sebegini gegak gempita alam Melayu diserangnya PH.

LGBT dan aurat wanita. Semasa PH memerintah dulu ramai yang mengintai aurat dan pondan untuk dijadikan isu.

Apabila pondan menutup aurat bertudung dan berjubah pergi Mekah tunai umrah gerombolan lebai bangkitkan kemarahan serang kerajaan dan Menteri Agama PH.

Kini, zaman kerajaan PN gerombolan yang bising dulu senyap ‘tupah’ sahaja apabila pondan yang sama memakai baju separuh bogel.

Bahkan di bawah kerajaan PN, Miss Plus World Malaysia telah berjaya dianjurkan hanya dengan menukar nama sahaja.

Kerajaan yang dikatakan mahu memartabatkan Islam PN gagal membatalkannya walaupun ia bercanggah dengan fatwa Wilayah Persekutuan yang telah diwartakan dan mencabar syarat yang ditetapkan oleh JAKIM.
Bayangkanlah jika ini berlaku pada zaman PH, ‘cawat kote’ lah lebai-lebai politik up status Facebook dan serang kerajaan di masjid, kedai kopi dan kumpulan WhatsApp.

Dari sudut rasuah, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2020 di bawah PN jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga 51 pada 2019 semasa PH memerintah.

Antara faktor kejatuhan kedudukan CPI Malaysia ialah pembebasan kes mahkamah berprofil tinggi dalam beberapa kes rasuah seperti melibatkan Riza Aziz, Tan Sri Musa Aman dan selain keduanya.

Kerajaan PH telah berusaha mendakwa kes-kes rasuah dan kerajaan PN yang disokong Tok Mopti membebaskannya pula.

Oleh itu, tidak usahlah Tok Mopti sibuk dengan kes-kes berprofil tinggi lain yang menerima desakan supaya dibebaskan sedangkan lupa beberapa kes telahpun dibebaskan sebaik sahaja PN memerintah.

Di atas beberapa contoh sahaja untuk sama-sama kita renung dan fikir. Banyak lagi isu lain panjang jika mahu sebut semuanya.

Isu pembelaan arwah Adib yang senyap kini, status agama rakyat Malaysia yang sujud di kuil Sikh, isu UEC, kartel daging palsu logo halal, bantuan sekolah agama, Covid-19, Parlimen digantung, pembaziran pelantikan Menteri PN teramai di dunia, pilih kasih penguatkuasaan undang-undang antara menteri dan rakyat serta banyak lagi bahkan bendera terbalik pun masih berlaku pada zaman PN.

Mungkin ‘pekak’

Sepatutnya sebagai seorang Tok Mopti, menyanjung keadilan dan kebenaran, jika dakwaan Islam terpinggir dan terancam pada zaman PH dirasionalkan dengan hujah-hujah yang sama berlaku bahkan lebih lagi pada zaman PN sepatutnya hujah-hujah yang sama juga diguna untuk menyatakan Islam juga terancam di bawah kerajaan PN bahkan semakin teruk lagi.

Namun, Tok Mopti dalam isu ini mungkin ‘pekak’ sebagaimana jawapan Tun dulu apabila Tok Mofti mendakwa kedudukan Islam berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran PH.

Bagi saya kerajaan PN lebih teruk dari Kerajaan PH. Paling tidak pun bagi saya dengan fakta-fakta yang saya nyatakan di atas, apa yang berlaku pada zaman PH masih berlaku sekarang di bawah PN.

Bahkan beberapa tindakan kerajaan PH dulu lebih baik dari kerajaan PN sekarang.

Sepatutnya Tok Mopti nasihatkan pengkhianat kerajaan PH dulu lagi supaya sabar menunggu lima tahun untuk menukar kerajaan dan mengunakan kaedah mengambil mudarat yang lebih kecil sebelum kerajaan PH jatuh.

Sepatutnya, Tok Mopti sedar membenarkan pengkhianatan untuk menubuhkan kerajaan adalah membiarkan kemudaratan lebih besar berlaku kepada negara.

Menyokong penunggang agama membina negara adalah mengundang kemudaratan lebih besar pada agama. Mengabsahkan kerajaan yang dibina atas sabotaj, langgar janji dan mandat rakyat membawa malapetaka, musibah kepada rakyat, ekonomi dan ketidakstabilan politik negara.

Apa yang berlaku hari ini antara sahamnya daripada Tok Mopti sendiri dan kita sama-sama akan melihat di depan mata kemudaratan yang berlaku dan akan terus berlaku jika tidak sama-sama mengembalikannya pada landasannya yang sebenar dan berhak.

Ya Allah! Jangan jadikan dunia ini matlamat paling utama kami dan ilmu kami. Jangan Engkau jadikan akibat dosa-dosa kami orang yang tidak takut kepada Engkau dan tidak mengasihani kami menjadi pemimpin-pemimpin kami. Aminn!