Usahawan sensasi dan pempengaruh media sosial, Siti Jamumall dakwa dirinya sudah bercerai dengan bekas suami tahun lalu dek kerana sikap tidak bertanggungjawab.
Baru berusia 24 tahun, Siti memaklumkan hanya mendapat RM50 nafkah setahun ketika berkahwin dengan bekas suami.
Menurut Media Hiburan, Siti tampil menjawab persoalan ramai yang bertanya mengenai isu penceraian dengan bekas suami.
“Sebelum ini ramai tanya kenapa saya cerai. Kalau nak tahu, saya pernah dapat RM50 saja nafkah dalam masa setahun. Paling banyak pun RM200.
“Saya pernah cakap dengan dia (bekas suami) perkara ini. Tapi, mujur saya ini wanita jenis yang berdikari dan tidak mahu bergantung harap sepenuhnya dengan dia.
“Jadi, saya bekerja dan berniaga menerusi sesi siarang langsung,” ujarnya.
Malah Siti turut berkongsi bagaimana dirinya tetap gigih memenuhi pesanan pelanggan walaupun sudah di saat mahu melahirkan anak keduanya.
“Malah, pernah hari di mana sebelum bersalin anak kedua saya masih sempat selesaikan semua pesanan orang untuk dihantar.
“Selepas itu baharulah saya ke hospital. Sampai tahap macam tu saya kena cari duit sendiri,” tambahnya.
Siti Jamumall turut menambah, perceraian adalah jalan terbaik buat dirinya selain tidak mahu lagi menanggung ‘biawak hidup’.
“Sampai bila saya nak hidup dalam suasana rumah tangga dan perhubungan yang toksik? Saya tidak mahu terus membiarkan diri terseksa dengan menanggung ‘biawak hidup’.
“Diakui apa yang berlaku ini memberi impak besar kepada kehidupan saya. Saya hanya berkongsi perkara ini kepada keluarga dan rakan rapat saja. Mereka yang banyak berikan sokongan dan semangat untuk teruskan kerjaya,” katanya.
Dia tetap berpegang pada pesan ibu untuk tetap cari duit sendiri walaupun sudah berkahwin.
“Saya dari umur 16 tahun dah biasa berdikari dan cari rezeki. Bila bercerai ini, hidup perlu diteruskan.
“Saya sentiasa ingat pesan mak, menjadi perempuan macam mana kaya pun suami, tapi kena ingat kena ada duit sendiri dan cari duit sendiri,” maklumnya lagi.
Siti Jamumall dan suami bercerai dengan talak satu pada Disember tahun lalu selepas empat tahun berkahwin.
Baca juga: Andi Arsyil rela datang KL tonton teater, ini respon Puteri Sarah – “Insya-Allah kalau..”