Malaysia Dateline

Hanya dengan beri hak sepatutnya mampu wujudkan keamanan berterusan di Palestin

Menteri Luar Jordan, Ayman Safadi berkata terdapat hanya satu cara untuk mencapai keamanan berkekalan di Palestin iaitu dengan memberikan hak yang sepatutnya kepada rakyatnya, lapor agensi berita Xinhua.

Menteri itu berkata demikian pada pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Saeb Erekat di Amman pada Isnin.

Negara Palestin perlu diwujudkan di sepanjang garis sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.

Menurut Safadi perlu ada penyelarasan berterusan antara rakyat Palestin dan Israel yang menggariskan keperluan meneruskan usaha melindungi Baitulmaqdis.

Tegasnya Jordan menolak semua langkah Israel untuk mengubah status quo di Baitulmaqdis, selain tidak mengiktiraf kuasa kehakiman rejim zionis ke atas bandar itu.

Pada pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju dengan usaha dan penyelarasan berterusan demi membantu mencapai keamanan berpanjangan, berdasarkan penyelesaian dua negara dan resolusi antarabangsa yang sah.

— BERNAMA