Malaysia Dateline

Hanya dengan panggilan telefon Adun Pas lesap RM84,529

Hanya dengan panggilan telefon wang RM84,529 daripada dua bank difahamkan Adun Pas dari Kelantan telah lesap begitu sahaja selepas diperdaya dengan sendiket macau Scam.

Mangsa yang berumur 57 tahun itu menyedari ditipu apabila hadir ke Bank Islam dan Bank Muamalat untuk menyemak baki akaun selain membuat kad bank baru.

Menurut, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan, Asisten Komisioner Wazir Mohd Yusof, Adun Kelantan itu dikatakan menerima panggilan daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan mangsa dimaklumkan terdapat tunggakan cukai bernilai RM52,900.

Hanya dengan panggilan telefon Adun Pas lesap RM84,529
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan, Asisten Komisioner Wazir Mohd Yusof

Katanya, ia membabitkan cukai terkumpul disebabkan kemasukan wang tunai RM200,000 kepada akaun syarikat didakwa milik mangsa, namun perkara itu dinafikan oleh ADUN terbabit.

“Susulan itu, suspek menyuruh mangsa membuat laporan polis sebelum talian disambung ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Adun berkenaan kemudian diminta mengesahkan segala pemindahan wang terbabit adalah tidak benar sebelum talian disambung kepada seorang wanita kononnya pegawai dari JSJK Melaka bergelar Datuk,” katanya menerusi kenyataan media, di sini

Wazir juga berkata, ketika perbualan berlangsung, mangsa diminta membuat pengesahan akaun miliknya dengan mengisi pautan Bank Negara yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp.

Jelas beliau, pada 10 April sekitar jam lebih kurang 10:30 pagi, ADUN terbabit telah pergi ke Bank Islam Kota Bahru untuk menyemak baki akaun dan membuat kad baharu.

“ADUN terbabit dimaklumkan oleh pegawai bank bahawa baki akaun bank miliknya telah berkurangan sebanyak RM 71,480.

“Mangsa juga telah ke Bank Muamalat Kota Bahru untuk membuat kad bank yang baru dan telah dimaklumkan bahawa baki di dalam akaun bank miliknya telah berkurangan sebanyak RM13,049 melalui dua pengeluaran iaitu pada 9 April jam 5.36 petang dan RM9,999 dan RM3,050 juga pada hari sama sekitar jam 5.40 petang,” katanya lagi.

Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami oleh ADUN berkenaan ialah RM84,529.