Malaysia Dateline

Hanya dengan perpaduan, Harapan akan menang dalam PRU ini, kata Mohamad Sabu

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu mengingatkan semua penyokong Pakatan Harapan bahawa mereka hanya akan menang di negara ini melalui perpaduan antara kaum.

Bercakap ketika memperkenalkan calon-calon Pakatan Harapan di Kedah malam tadi, Mohamad berkata, hanya dengan cara itulah saja mereka boleh membina Malaysia yang lebih baik.

Menurut Mohamad, pembangkang mula menang di Malaysia apabila berlakunya kerjasama antara PKR, Pas dan DAP menjelang pilihan raya umum 2008.

“Apabila ketiga-tiga bekerjasama sajalah baru kita boleh menang di lima negeri ketika itu,” kata beliau mengingatkan kesemua penyokong Pakatan Harapan bahawa kemenangan hanya datang apabila bekerjasama.

Atas dasar itulah, katanya, tanpa perpaduan utuh antara PKR, AMANAH dan DAP serta lain-lain parti dalam pilihan raya kali ini HARAPAN tidak akan boleh berjaya.

Kenyataan Mohamad ini dibuat ketika berlaku perselisihan faham antara pemimpin bawahan AMANAH dan DAP dalam menentukan calon mereka di Kedah dan Perak.

AMANAH terpaksa melepaskan kerusi yang mereka tuntut iaitu Parlimen Jerai di Kedah dan kerusi negeri Changkat Jong di Perak bagi membolehkan mereka mendapat kerusi Parlimen Alor Gajah di Melaka yang sepatutnya diwakili DAP.

DAP pula mahukan kerusi Jerai bagi membolehkan imej Cina mereka dilenturkan dengan meletakkan calon Melayu di Jerai.

Malam tadi, Mohamad mengumumkan calon dari DAP Zulhazmi Sharif, bekas pemimpin muda Pas menjadi calon Pakatan Harapan di Parlimen Jerai. (gambar atas).

MENGAPA PERPADUAN

Menurut Mohamad, Umno sedar jika perpaduan terus kuat antara PKR, Pas dan DAP, kerajaan Umno akan jatuh.

“Umno sedar perkara ini. Sebab itu menjelang PRU-13, Umno memberikan banyak wang kepada Pas untuk memecahkan parti itu.

“Nik Abduh mengaku Pas terima duit dari Umno. Haji Hadi marah dan saman Clare (Rewcastle-Brown) apabila Sarawak Report mendedahkan Pas terima RM90 juta dari Umno.

“Tetapi yang berlakunya, dia (Hadi) saman tetapi dia bayar Claire RM1.4 juta untuk tarik balik kes itu.

“Perkara ini antara paling pelik dalam dunia. Sebab apa? Dia tahu banyak perkara akan didedah bila bicara nanti. Jadi dia bayar RM1.4 juta untuk tarik balik kes itu,” kata Mohamad.

Akhirnya, kata Mohamad, pada Muktamar 2015, Pas mengambil keputusan berpisah dengan DAP dan selepas itu dengan PKR.

Menurut Mohamad, dalam keadaan begitulah, beliau dan rakan-rakan menubuhkan AMANAH cepat-cepat.

“Kami tahu kami kecil. Kami tak kuat. Cepat-cepat kita berpaut dengan rakan kita, Keadilan dan DAP. Maka timbullah Pakatan Harapan,” cerita Mohamad dalam majlis malam tadi.

Sebab itulah, katanya, semua pihak perlu menjaga perpaduan ini jika mereka mahu menang dan mengubah Malaysia ke arah negara yang lebih baik dengan rakyatnya yang pelbagai kaum bersatu padu.