Malaysia Dateline

Hanya dengan ramaikan kawan, kurangkan lawan boleh kembalikan PH, kata Mohamad Sabu

Pilihan raya negeri (PRN) Melaka perlu dijadikan pengajaran oleh Pakatan Harapan (PH) bahawa hanya dengan pendekatan meramaikan kawan dan mengurangkan musuh sahaja mereka akan beroleh kemenangan, kata Presiden AMANAH Haji Mohamad Sabu.

Berucap ketika merasmikan Konvensyen AMANAH Kelantan di Kota Bharu, ahli parlimen Kota Raja itu berkata, hanya dengan cara mengujudkan perpaduan sahaja PH boleh kalahkan Barisan Nasional (BN).

Mohamad Sabu merasmikan Konvensyen AMANAH Kelantan semalam.

“PRN Melaka adalah loceng amaran kepada kita.

“Hanya perpaduan sesama kita, dan bersama seramai mungkin pihak lain untuk dibuat kawan dan mengurangkan lawan baru kita boleh menang.

“PH kena bincang secara serius kali ini. Kita kena tambahkan kawan dan kurangkan lawan,” kata bekas ahli parlimen di Kelantan selama dua penggal itu.

Bagi beliau, pemimpin tidak terlalu penting kerana mereka boleh datang dan boleh pergi.

“Pemimpin tidak begitu penting kerana mereka boleh datang dan boleh pergi.

“Kalau kita berjaya bina perpaduan sebagaimana kita bina ketika kita mengambil alih Melaka dalam pilihan raya umum ke 14 lalu, BN boleh jatuh kembali,” kata beliau.

Menurut Mohamad, PH yang mengambil Melaka dalam pilihan raya umum dahulu sudah berpecah.

“Dulu PH ini bergabung dengan sebahagian penyokong dalam PN tu. Bila PH campur PN, kita jauh mengatasi BN,” kata beliau dalam ucapan itu.

Kata Mohamad, BN tidak banyak menambahkan undi dalam PRN Melaka baru-baru ini, tetapi undi PH yang berkurangan.

“Peratus keluar mengundi di Melaka hanya 65.85 sahaja. Kalau 75 peratus, ada yang buat kira-kira rakan-rakan kita dari DAP boleh menang kesemua lapan kerusi mereka, kita dan PKR boleh menambah kerusi lagi,” kata Mohamad merujuk kepada peratus keluar mengundi dalam PRU 14 lalu adalah 89.8 peratus di Melaka.

KERINDUAN KEPADA PH

Bagi Mohamad, kerinduan kepada zaman kerajaan Pakatan Harapan semakin meningkat sejak kebelakangan ini dan ia perlu diambil peluang oleh pemimpinnya untuk kembali menang.

“Nampak kerinduan kepada PH timbul semula.

“Saya yakin, semakin dekat dengan pilihan raya umum, kerinduan kepada PH semakin memuncak kerana orang ramai semakin sedar kebaikan dari kerajaan PH,” kata beliau.

Mohamad merujuk kepada keputusan kerajaan pusat menolak bayaran royalti petroleum kepada Kelantan sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

“Dahulu masa kempen PRU 14, kita telah umumkan akan memberikan royalti minyak kepada Kelantan jika menang.

“Apabila menang, kita telah melaksanakan perkara ini. Kita telah bayar RM400 juta secara langsung kepada akaun kerajaan negeri Kelantan.

“Bila Menteri Kewangan buat pengumuman tiada royalti, pemimpin Pas khasnya di Kelantan buat-buat terkejut.

“Buat apa terkejut, tanyalah perdana menteri dalam mesyuarat kabinet. Kan Pas ada wakil dalam mesyuarat kabinet,” kata beliau dalam ucapan itu.

Kerajaan Kelantan terkejut dengan kenyataan Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berhubung pembayaran royalti petroleum kepada negeri berkenaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, bagaimanapun sebarang tindakan lanjut akan dimaklumkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dalam masa terdekat.

Ekoran itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yacub dalam kenyataannya memohon kerajaan Persekutuan memberi penjelasan lanjut berhubung kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tidak akan membayar royalti petroleum kepada mana-mana negeri termasuk Kelantan.

Ahmad berkata, kerajaan negeri memandang serius jawapan bertulis yang dikemukakan oleh Tengku Zafrul dalam persidangan Dewan Rakyat 24 November lalu.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan melalui Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 telah memutuskan bahawa kerajaan Persekutuan akan memansuhkan Program Wang Ehsan dan memutuskan bayaran tunai petroleum disalurkan terus kepada kerajaan negeri.