Malaysia Dateline

Hanya dua tokoh Harimau Asia mampu kembalikan kerajaan mandat rakyat

Umum mengetahui bahawa keretakan yang berlaku dalam Perikatan Nasional (PN) sejak ia diwujudkan kini sudah sampai ke kemuncaknya. Parti-parti yang bergabung untuk mewujudkan sebuah kerajaan tanpa mandat rakyat semakin hari semakin berbeza hala tuju mereka.

Umno-BN kekal dengan pandangan mereka bahawa parlimen harus dibubarkan segera bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan semula, namun ia tidak dipersetujui oleh sebahagian pimpinan Pas dan Bersatu.

Kini, ura-ura sebilangan wakil-wakil rakyat untuk kembali semula kepada Pakatan Harapan (PH) semakin kerap didendangkan. Kata Pegarah Komunikasi PKR, YB Fahmi Fadzil, ‘Jika tiada angin masakan pokok boleh bergoyang!’ membuktikan bahawa khabar angin ingin menjadi berita yang benar. Setelah timbalan menteri Kerja Raya, YB Dr.Shahrudin meletakan jawatannya dalam kerajaan PN, ura-ura semakin menjadi benar.

Aksi patah semula wakil-wakil rakyat ini ke pangkuan pembangkang akan menjadikan jumlah kerusi kerajaan PN akan seri ataupun minoriti berbanding PH menyebabkan kerajaan itu tergantung. Tindakan ini membolehkan kumpulan yang mempunyai kerusi majoriti menubuhkan kerajaan baru.

Persoalan yang timbul adalah, mampukan PH bersama sekutunya mencapai kata sepakat formula apa yang akan digunakan pakai dalam membentuk barisan Jemaah menteri mereka terutamanya calon perdana menteri.

Persoalan ini bukan sahaja menjadi sekadar soalan, malah ia adalah racun paling berkesan yang digunakan oleh musuh PH dan sekutunya agar kesepakatan antara mereka gagal dicapai. Cabaran utama dalam hal ingin mengambil-alih semula kerajaan ialah bagaimana Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr. Mahathir Mohamad akan berkolaborasi kali ini. Cabaran ini nampak sukar untuk diatasi, kerana masing-masing mempunyai keupayaan masing-masing dan latar belakang kisah yang mempengaruhi kedudukan politik mereka.

Secara ringkas untuk diperkatakan, tugas pimpinan DAP, AMANAH, PKR, Warisan, YB Bersatu kem Tun M dan wakil-wakil rakyat bebas yang berpihak kepada pembangkang telah lama selesai. Selesai dalam erti kata tugas untuk mengembalikan semula kerajaan mandat rakyat ini. Usaha mereka untuk sentiasa berunding dan menyusun strategi telah dijalankan sebaik mungkin.

Bukan itu sahaja, malah semua ahli parti termasuk penyokong PH dan sekutunya telah berfungsi sebagai petugas hadapan menjalankan perang saraf dan serangan kepada pimpinan PN sehingga berjaya mempengaruhi rakyat agar kerajaan pilihan rakyat dikembalikan. Kini, peranan pelari pecut terakhir bagi larian pecutan menegakkan semula kerajaan mandat rakyat ini adalah Anwar Ibrahim dan Tun Mahathir. Kedua-dua tokoh inilah yang akan menyudahkan tugasan terpenting ini agar kerajaan PH dan sekutunya berdiri semula.

Anwar Ibrahim memegangkan tali prinsip perjuangan terkuat itu harus diadun dengan pengalaman Tun M untuk menjalankan tugas ini. Kedua-duanya mempunyai kekuatan yang gagal diperoleh terutamanya musuh-musuh mereka. Keakraban dan keserasian mereka semasa memimpin Malaysia dari tahun 1993 hingga 1998 sangat dikenang. Inilah menjadi perkara yang dicemburui dan ditakuti oleh musuh PH dan sekutunya. Jika PH dan sekutunya berjaya mencapai kerjasama ini, bersedialah melihat sebuah kerajaan mandat rakyat dikembalikan. Tun M perlu bersama Anwar dan Anwar perlu bersama Tun M.

Saya tidak pasti apakah perasaan kedua-dua tokoh ini semasa mereka memerintah Malaysia sehingga digelar ‘Harimau Asia’ satu ketika dahulu. Bagaimanakah prinsip perjuangan mereka semasa itu, sehingga mampu meletakkan Malaysia sama taraf dengan negara-negara yang pesat membangun. Yang pasti adalah rakyat sejahtera dibawah mereka, rakyat menikmati kemakmuran yang diagihkan mengikut keadilan sosial yang telah dipersetujui.

Apa sahaja yang disebutkan oleh dua tokoh ini, menjadi ungkapan dunia dan diiktiraf. Saya mengimbas kembali kisah kegemilangan ini, kerana kita rakyat Malaysia tidak mahu terus menerus duduk dalam kerajaan minoriti ini, dan mengharapkan agar PH dan sekutunya kembali semula sebagai kerajaan. Dengan sentuhan mereka berdua negara jadi makmur dan sejahtera, kini masa untuk peristiwa hebat itu dikembalikan, diapit pula dengan tokoh-tokoh PH, Warisan dan kem Tun M, pastinya Malaysia akan kembali ke depan.

Kami rakyat bawahan tidak mengetahui apakah disebalik kata hati tokoh harimau asia ini. Mungkin kami tidak mengerti kepahitan yang tokoh-tokoh ini lalui. Namun, kami mengharapkan tugas tearkhir agar kerajaan mandat rakyat dapat dikembalikan dapat dijalankan dengan sempurna oleh kedua-dua tokoh ini. Jika ia tidak berjaya, rakyat terpaksa menunggu pilihan raya umum yang akan datang untuk kembali bertempur. Ada jaminankah ketika itu, perlawanan yang dijalankan sama rata dan sama adil supaya yang benar-benar majoriti akan menang? Tiada siapa yang boleh bagi jaminan.

Bagaimana formasi kerjasama antara Anwar dan Tun M, biarlah pimpinan PH dan sekutunya yang bijaksana laku aturkan. Kami rakyat bawahan mempunyai harapan yang tinggi agar Anwar Ibrahim dan Tun M akan bekerjasama secara tuntas untuk mengembalikan semula kerajaan mandat rakyat.

Kami yakin, kedua-dua tokoh ini mempunyai pengalaman dan prinsip politik yang jelas, dan bersedia untuk mendahului kepentingan rakyat dari segala-galanya. Dua tokoh ulung ini benar-benar nadi perjuangan rakyat marhaen, bantulah kami dan dukunglah kami. Kini masanya sudah tiba bahawa PH dan sekutunya meneruskan apa yang telah direncanakan selama 22 bulan dan terus memperkasakan agenda reformasi Malaysia sehingga kembali menjadi Harimau Asia!

* Syazmir Hariz Noorazalan adalah AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor, Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak dan Ketua Pemuda AMANAH Caw. Gombak Setia.