Malaysia Dateline

Hanya enam alasan rentas negeri Isnin hingga Khamis dipertimbang

Hanya bagi tujuan pekerjaan, kecemasan dan kematian ahli keluarga terdekat, perubatan, pendidikan serta menemui pasangan jarak jauh dipertimbang untuk kebenaran rentas negeri.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata, perjalanan rentas negeri bagi tujuan tersebut hanya dibenarkan pada hari Isnin hingga Khamis sahaja.

Menurutnya, langkah mengetatkan syarat permohonan itu diambil susulan lonjakan kes baharu Covid-19 sejak empat hari lalu.

“Kita mengambil serius perkara itu. Justeru usaha mengekang penularan Covid-19 diperketatkan oleh PDRM, di mana pergerakan merentas negeri hanya dibenarkan untuk enam jenis alasan saja.

“Hanya enam alasan dipertimbangkan untuk diberi kelulusan dan pemohon hanya boleh merentas negeri pada Isnin hingga Khamis saja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau turut menegaskan permohonan untuk pergerakan pada hujung minggu tidak akan diluluskan.

“Hanya sebab kecemasan, kematian dan pasangan jarak jauh dibenarkan pada hujung minggu iaitu Jumaat hingga Ahad,” jelasnya.

Selain itu, Acryl mengingatkan permohonan pergerakan rentas negeri bagi tujuan sosial seperti menghadiri kenduri perkahwinan dan apa-apa jenis majlis atau jamuan dilarang.

Aturan ini katanya, akan berterusan sehingga selepas Aidilfitri dan mana-mana pihak yang ingkar akan diambil tindakan tegas.

Dalam pada itu, katanya semua ketua polis daerah (KPD) dan pasukan pemantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) akan digerakkan ke lapangan bagi menangani isu ketidakpatuhan SOP masyarakat di bazar Ramadan dan pasar malam.

“Sekiranya didapati SOP tidak dipatuhi, PDRM akan mengemukakan saranan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya aktiviti perniagaan di kawasan terbabit dihentikan,” tambahnya lagi.