Malaysia Dateline

Pondok Tahfiz

Hanya enam pusat tahfiz di Perlis penuhi kriteria keselamatan

Hanya enam daripada 15 pusat tahfiz bantuan kerajaan di Perlis memenuhi aspek keselamatan yang ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis.

Pengarah JBPM Perlis, Mohd Fadzil Haroon berkata Pusat Giat Mara yang diberi kontrak menyelenggara dan membuat pendawaian di semua pusat tahfiz berkenaan dijangka menyiapkan kerja mereka di sembilan pusat tahfiz dalam masa terdekat.

Kami telah memeriksa semua pusat tahfiz tersebut dan mendapati sistem pendawaian enam pusat tahfiz yang dibuat memenuhi kriteria JBPM, katanya kepada media selepas perhimpunan tahunan JBPM peringkat negeri di sini, hari ini.

Mohd Fadzil berkata semua pusat tahfiz perlu dilengkapi dengan sistem pencegahan kebakaran yang lengkap termasuk menyediakan alat pemadam api.

Katanya kerajaan memperuntukkan RM5 juta untuk meningkatkan aspek keselamatan kebakaran di semua pusat tahfiz di seluruh negara pada tahun ini.

Kita mendoakan dengan langkah keselamatan yang diambil tiada lagi insiden kebakaran seperti yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah di Keramat, Kuala Lumpur tahun lepas yang mengorbankan 23 nyawa termasuk dua tenaga pengajar pusat pengajian itu, kata Fadzil.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya akan memohon peruntukan bagi membina Balai

Bomba Beseri setelah mengenal pasti tapaknya. Balai Bomba ini akan memendekkan tempoh masa bertindak sehingga kurang 10 minit, tambah Fadzil.