Malaysia Dateline

Hanya gertak dan wayang sahaja, Umno bawa ke Mesyuarat Agung Tahunan

Setelah seminggu panas dengan gertak dan ugutan akhirnya Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi membuat keputusan, Mesyuarat Agung Umno pada 31 Januari ini akan membincangkan segala usul yang diputuskan oleh mesyuarat Umno bahagian.

Dalam satu kenyataan bertulis yang dibuat oleh Ketua Penerangan Umno sebaik sahaja selesai mesyuarat MT malam tadi, mereka juga mengambil keputusan untuk berbaik-baik dengan Pas walaupun Umno Terengganu dan Kelantan sudah menolak Pas dalam usul berapi-api mereka.

Hanya Umno Terengganu sahaja masih berani melawan tekanan yang dibuat ke atas mereka tetapi yang lain lain masih juga tergila gila kepada Pas walau parti itu sudah 8216kahwin8217 baru dengan Bersatu

“Hanya drama, gertak dan wayang sahaja di samping atas meja mereka juga ada popcorn,” kata para netizen dan penganalisis politik tentang apa yang berlaku dalam masa seminggu lepas.

Bagi mereka, Umno takut kehilangan kuasa yang mereka nikmati sekarang dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mereka juga takut tindak balas dari PN.

“Saya rasa sebahagian MT Umno sudah berada dalam tangan Muhyiddin dan Azmin bahkan Umno sendiri. Umno sudah hancur. Mereka tidak lagi berani bertindak,” kata beliau lagi merujuk kepada kedudukan pemimpin utama Umno yang hadapi kes mahkamah dan kedudukan pendaftaran Umno sendiri.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan dalam kenyataan tiga muka suratnya malam tadi berkata, MT telah mengambil keputusan untuk membawa semua usul ke mesyuarat agung tahunan setelah mempertimbangkan semua usul yang dikemukakan oleh 189 bahagian parti.

“Mesyuarat juga memperhalusi semua usul yang dibangkitkan oleh 189 bahagian-bahagian Umno yang telah bersidang di seluruh Malaysia.

“Antara usul utama yang dibangkitkan majoriti besar Umno bahagian-bahagian: Mempertahankan hubungan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina ketika 22 bulan bersama-sama sebagai pembangkang.

“Memutuskan hubungan dengan Bersatu semasa menghadapi PRU-15.

“Mesyuarat (MT Umno) bersetuju untuk membawa usul-usul ini ke Perhimpunan Agung Umno pada 31 Januari 2021 bagi dibahas dan diputuskan di peringkat tertinggi parti sebagaimana peruntukan perlembagaan tersebut,” jelasnya lagi.

Hamdan juga berkata, keputusan memecat Tan Sri Annuar Musa dari jawatan Setiausaha Agung BN telah mendapat persetujuan lisan presiden parti komponen BN.

Bagi pemerhati politik, apa yang berlaku dalam mesyuarat MT Umno malam tadi membuktikan kelemahan Umno dan parti itu sudah tidak berani lagi bertindak.

Kenyataan berdegar-degar Ketua Pemuda Umno tetapi entah ke mana apabila masuk ke mesyuarat MT.

“Jelas bahawasanya Umno sudah tiada taring. Ada keris tapi tumpul dan tak boleh diguna untuk bertarung. Silap-silap patah urat,” kata seorang pemerhati politik dari Kelantan.

Bagi beliau, selepas PRU14, nampak jelas akan kemerengan kepimpinan Umno dan terumbang ambing tidak menentu.

“Haluannya sudah ternyata diselubungi kegelapan dek mendung yang menghijabkan masa depan mereka untuk terus menapak seperti masa lalu,” katanya lagi.

Mulai sekarang, katanya, sudah nyata Zahid dan panglima-panglimanya sudah layu dalam mempertahankan keteguhan dan kekuatan Umno seperti yang diharapkan.

“Kekuatan minda Umno juga nampaknya sudah semakin pudar dan akan diambilalih oleh parti yang mmpunyai minda dan dokongan gabungan baru yang lebih mantap,” tambah beliau lagi.

Bagi penganalisis politik, Dr Mazlan Ali (gambar) pula, keputusan Umno ini adalah baik untuk tempoh jangka pendek, kerana ia boleh mengurangkan ketegangan politik seketika, dan kerajaan boleh fokuskan terhadap usaha-usaha untuk memulih negara dari ancaman Covid-19 dan pemulihan ekonomi.

“Bagaimanapun, saya melihat, untuk jangka panjang, tali yang mengikat Umno dalam kerajaan PN ini akan bertambah kusut, ekoran keputusan meneruskan kerjasama dalam kerajaan, tetapi memutuskan hubungan dengan Bersatu dalam PRU-15 akan datang,” kata beliau.

Ia diburukkan lagi dengan pendedahan oleh Tan Sri Annuar Musa bahawa Najib dan Zahid Hamidi dalang dalam perkara sokongan terhadap Anwar pada bulan september lepas, kata beliau.