Malaysia Dateline

Hanya golongan miskin dapat air percuma Selangor mulai 2019

Program pemberian air percuma kepada rakyat Selangor akan hanya diberikan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) mulai tahun depan, bukan lagi untuk seluruh isi rumah seperti dinikmati sejak 2008.

Menteri Besar Amirudin Shari berkata langkah penjajaran semula program tersebut dibuat bagi memenuhi matlamat asal program iaitu meringankan beban kehidupan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

Justeru, katanya, mulai tahun depan, kadar percuma untuk 20 meter padu pertama setiap bulan akan dinaikkan kepada 25 meter padu bagi golongan B40.

“Kerajaan negeri yakin golongan B40 ini akan mendapat lebih manfaat daripada penjajaran semula air percuma nanti,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019 berjumlah RM2.56 bilion di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Shah Alam hari ini.

Pada 2008, kerajaan Selangor mula melaksanakan dasar pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu bersamaan dengan 20,000 liter atau 5,680 gelen sebulan untuk penduduk di negeri itu.

Kemudahan itu diberikan tanpa mengira taraf ekonomi, kaum, fahaman politik, asalkan mereka tinggal di Selangor.

Amirudin berkata untuk 2019, jumlah peruntukan kepada Program Air Percuma selepas penjajaran dilakukan ialah RM80 juta dan ia membolehkan kerajaan negeri membuat penjimatan sebanyak RM105.2 juta.

Menurutnya, penjimatan itu akan dapat dikembalikan kepada rakyat melalui program pembangunan dan program mensejahterakan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Amirudin mengumumkan pemberian bantuan kewangan khas tambahan sebulan gaji yang akan dibayar pada 20 Dis ini yang memberi implikasi kewangan kepada kerajaan negeri sebanyak RM34.53 juta.
Bernama