Hanya guna 3 bahan, lelaki ini berjaya cuci buntut kuali sampai berkilat

Oleh KIM SYAZIE

Bersinar bagai kuali baharu, seorang lelaki berjaya membersihkan kerak degil dengan hanya menggunakan tiga bahan yang senang didapati.

Menurut pemuda yang dikenali sebagai Hafiz Misron itu, tiga bahan tersebut adalah soda penaik (baking soda), sabun dan berus kuali.

Menggunakan teknik ‘double boil’, Hafiz berkata, kuali yang ingin dibersihkan perlu direbus di dalam kuali yang lebih besar.

Berikut adalah langkah-langkah untuk menganggalkan kerak kuali;

1. Mesti ada kuali yang lebih besar. Letak air penuh untuk tenggelamkan kuali yang hendak direbus di dalam kuali besar itu.

2. Letak empat sudu besar baking soda (Boleh jika mahu letak lebih).

3. Ada juga yang memberi cadangan supaya diletakkan asam keping atau lemon, mungkin kerana kandungan asid yang mempunyai sifat menghakis.

4. Tunggu air dalam kuali besar mendidih, kemudian baru letak kuali yang hitam itu.

5. Kemudian, rebus kuali hitam itu selama 30 minit atau 40 minit. Selepas mendidih, matikan api dan biarkan ia sejuk selama dua jam.

6. Selepas ia sejuk, sental dengan berus kuali dan sabun mandi. Jika tiada sabun mandi, boleh juga guna sabun cuci pinggan.

Mungkin tidak menghilangkan semua kerak, proses tersebut perlu diulang sehingga semua kotoran dapat ditanggalkan.

Perlu berhati-hati dan menggunakan sarung tangan ketika mencuci, kerak yang terlalu degil pula boleh ditanggalkan menggunakan pisau.

Baca juga: Banyak tengok ceramah agama, Syafiq Kyle sudah bersedia bergelar suami