Malaysia Dateline

Solat

Hanya imam, bilal dan siak boleh tarawih di masjid, surau di Kelantan

Pegawai masjid yang terdiri daripada imam, bilal dan siak sahaja dibenarkan untuk mengadakan solat sunat tarawih di masjid masing-masing sempena Ramadan ini.

Dengan kebenaran itu, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Zulkiflee Ab Rahman bagaimanapun berkata, mereka perlulah mematuhi beberapa peraturan ditetapkan.

Katanya, solat sunat tarawih yang diadakan termasuk selawat dan zikir tidak boleh menggunakan pembesar suara di luar masjid.

“Solat tarawih diadakan segera selepas selesai menunaikan solat Isyak dan mestilah diadakan dengan ringkas serta tidak mengambil masa yang terlalu lama.

“Hanya pegawai masjid yang benar-benar sihat sahaja dibenarkan dibenarkan solat tarawih di masjid, surau atau pun balaisah.

“Pegawai masjid juga hendaklah mengamalkan penjarakan sosial satu meter dalam saf dan dikehendaki segera pulang ke rumah sebaik selesai menunai solat tarawih dan witir,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Zulkiflee lagi, pihaknya dengan ampun perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad Ke-V, telah memutuskan untuk tidak membenarkan orang ramai menunaikan solat sunat tarawih di semua masjid, surau dan balaisah di seluruh negeri Kelantan.