Malaysia Dateline

Hanya isi borang kesihatan untuk masuk ke Sarawak

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak mengesahkan rakyat Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang masuk ke negeri ini hanya perlu mengisi Borang Pengisytiharan Kesihatan sahaja.

JPBN berkata, sebelum ini rakyat Malaysia yang masuk ke Sarawak diwajibkan memohon dan mengisi borang kemasukan ‘Enter Sarawak’.

“Sekarang, kita nak maklumkan tidak lagi perlu memohon dan mengisi borang kemasukan atau ‘Enter Sarawak’ sebaliknya hanya perlu mengisi Borang Pengisytiharan Kesihatan sahaja,” kata JPBN dalam satu kenyataan.

Tambah JPBN, mesyuarat telah memutuskan beberapa Garis Panduan (SOP) seperti tatacara kemasukan ke Sarawak bagi warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan

Untuk warganegara asing dan warganegara Malaysia yang tiba atau transit dari luar negara, JPBN menegaskan, mereka masih perlu memohon dan mengisi borang ‘EnterSarawak’ dan Borang Pengisytiharan Kesihatan.

“Bagi tatacara kuarantin di Sarawak (kuarantin di hotel), semua warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang masuk ke Sarawak yang destinasi terakhir mereka di kawasan pedalaman dan jauh dari Klinik Kesihatan yang menyediakan kemudahan untuk mengambil sampel COVID-19, akan dikuarantin di hotel.

“Sampel akan diambil pada hari kedua dan sekiranya keputusan adalah negatif, maka mereka dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

“Bagi penumpang yang transit, mereka akan dikuarantin di destinasi terakhir mereka (kuarantin di rumah),” tambah JPBN.

JPBN memberitahu, semua warganegara Malaysia dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang masuk ke Sarawak yang destinasi terakhir di kawasan bandar, Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Bintulu, Miri, Limbang dan Lawas yang ada menyediakan Klinik Kesihatan untuk mengambil sampel COVID-19, mereka akan dipasang ‘wristband’ atau gelang kuarantin dan dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

Kata JPBN lagi, sampel COVID-19 akan diambil pada hari kedua di Klinik Kesihatan yang berhampiran dan sekiranya keputusan adalah negatif, mereka tidak perlu menyambung baki kuarantin.

Mengenai SOP Pusat Hiburan, JPBN menjelaskan, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan telah membentangkan SOP pembukaan pusat hiburan (karaoke berbilik sahaja) yang dibenarkan untuk beroperasi.

Bagaimanapun, JPBN menyatakan pusat karaoke terbuka belum lagi dibenarkan beroperasi dan arahan tersebut berkuatkuasa pada 15 Ogos 2020.

Sementara itu, Sarawak semalam terus merekodkan sifar kes positif COVID-19 untuk enam hari berturut-turut sejak 1 Ogos lalu.

Ia sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini kekal sebanyak 678 kes.