Hanya jadi duta, Jalaluddin Hassan bersedia dipanggil SPRM untuk bantu siasatan

Oleh MAISARAH AISYA

Tular mengenai satu syarikat perunding kewangan yang terbabit sindiket rasuah dan pengubahan wang haram.

Lebih mengejutkan, syarikat ini juga mengambil selebriti ternama untuk menjadi duta syarikat mereka baru-baru.

Antara dutanya adalah pelakon Datuk Jalaluddin Hassan yang sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya dipanggil bagi membantu siasatan.

Menurut Harian Metro, Jalaluddin memaklumkan masih belum menerima panggilan daripada pihak SPRM berhubung kes itu untuk membantu siasatan.

“Sudah tentu, tiada masalah (untuk beri kerjasama dengan pihak SPRM bagi membantu siasatan). Cuma, setakat ini belum ada sebarang panggilan lagi.

“Apapun, tugas saya hanya sebagai duta saja dengan syarikat perunding kewangan terbabit yang bertanggungjawab menjalankan tugas membuat promosi di media sosial, itu saja.

“Manakala, untuk perkara lain saya tidak terbabit. Malah, selama menjadi duta, saya ‘happy’ melakukannya kerana tidak pernah ada masalah.

“Tapi, saya terkejut dengan adanya isu ini,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Sebelum ini Ketua SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan ada selebriti terbabit yang menerima bayaran antara RM150,000 hingga RM400,000 namun dinafikan oleh Jalaluddin.

“Alangkah bertuahnya jika saya dapat wang sebanyak itu. Saya tidak mahu cerita, apapun menafikan perkara itu.

“Biarlah pihak berkuasa menyiasat. Saya lihat reaksi pihak mereka tenang sahaja. Saya harap semuanya dapat dijernihkan,” ujarnya.

Dua lagi selebriti yang turut menjadi duta syarikat berkenaan adalah angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor dan penyanyi, Ziana Zain.

Baca juga: Sediakan rumah untuk semua anak-anak, ramai kagum cara Kak KM buat persiapan awal