Malaysia Dateline

Hanya Jawatankuasa Bebas layak nasihat YDPA, bukan Kabinet, Faiz bidas Takiyuddin

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan bahawa Kabinet yang akan menasihatkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sama ada darurat perlu dilanjutkan adalah tidak berasas dan menyimpang daripada seksyen 2 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Menurut Ahli Jawatankuasa AMANAH Faiz Fadzil Kabinet tiada kuasa untuk menasihati YDPA berkaitan perlanjutan darurat.

Ini kerana kata Adun Permatang Pasir itu proklamasi darurat dibuat berdasarkan Ordinan Darurat ini yang mana peruntukan seksyen 2(1) tersebut tidak dipinda, maka ia kekal dan mengatasi mana-mana peruntukan undang-undang lain.

“Sungguhpun begitu, proklamasi darurat seharusnya dibentangkan di Parlimen menurut Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, maka kabinet tetap tiada kuasa berkaitan proklamasi darurat,” katanya.

Seksyen 2 ini memperuntukkan bahawa (in verbatim): “Hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa khas bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)”.

Kata Adun Permatang Pasir itu, seksyen 11 (a) Ordinan Darurat hanya memberikan kuasa kepada kabinet untuk menjalankan kuasa eksekutif iaitu pentadbiran negara.

Tegas beliau yang juga pengamal undang-undang kegagalan kerajaan PN menjalankan kuasa eksekutif dengan kelemahan tadbir urus terutama dalam mengawal wabak Covid-19, kecelaruan proses imunisasi, dan kelembapan ekonomi, mewajarkan darurat tidak dilanjutkan.

“Parlimen tidak lagi boleh digantung kerana pelbagai masalah dan isu negara dan kepentingan rakyat tidak dapat dibangkitkan bagi mencapai satu solusi yang tuntas,” katanya,

Ternyata tegas beliau darurat bukanlah solusi terbaik dalam sistem demokrasi negara bahkan kenyataan Takiyuddin tersebut seolah-olah memusatkan semua kuasa kepada kabinet yang boleh menjurus kepada satu bentuk autokrasi.

Takiyuddin sebelum ini menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kabinet untuk menasihati Agong mengenai tempoh darurat.

Takiyuddin berkata demikian sebagai respons kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.