“Hanya kerana lambat sidai kain, tergamak keluarga mentua bakar baju aku dalam bakul”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak menyangka hubungannya dengan keluarga mentua telah menjejaskan keharmonian rumah tangga yang selama ini dibina bersama suami tercinta.

Malah sikap suami yang kurang memahami itu juga telah membuatkan wanita dikenali sebagai Melati mengambil keputusan tinggal di daerah berlainan dengan pasangan.

Semakin hilang kekuatan untuk terus mempertahankan perkahwinannya, berikut perkongsian Melati yang masih belum menemui titik penamat dalam penderitaannya itu.

“Assalamualaikum semua, namaku Melati. Bekerja sebagai doktor, berumur 32 tahun dan sudah berkahwin dengan seorang jurutera berusia 37 tahun. Alhamdulillah, kami memiliki sepasang anak. Anak kami iaitu kakak sudah tujuh tahun dan adik pula tiga tahun. Sekarang ini, aku masih tinggal bersama dengan ibu bapaku sendiri.

“Sebabnya tugas sebagai doktor membuatkan aku sentiasa sibuk terutama dengan on-call. Suami pula bekerja di negeri lain. Balik hujung minggu. Kami berkahwin atas dasar suka sama suka ketika aku masih bergelar pelajar. Waktu itu dalam fikiran aku adalah, ‘tak mengapa kahwin muda, mudah semua serba serbi’.

“Keluarga kedua belah pihak juga tiada halangan. Alhamdulillah kerana kami berdua masing-masing anak sulung, maka perkahwinan disambut meriah. Awalnya, aku tak faham apakah itu petanda ‘red-flag’ dalam perhubungan dengan keluarga mentua. Rupa-rupanya, ia sudah bermula sebelum kami berkahwin lagi.

“Waktu itu, pertama kali aku melawat keluarga suami iaitu Amri. Adiknya tiga orang dan semua perempuan. Mama mentua suri rumah manakala abah mentua pengarah di sebuah syarikat besar. Masa berbual, keluar perkara lucu yang membuatkan aku ketawa besar! Waktu itu, terus mama dia tegur aku depan-depan.

“Kata mama mentua, ‘Kalaulah anak perempuan aunty gelak-gelak besar macam ini waktu datang rumah orang, sudah kena tegur tau!’. Merah padam muka aku. Namun disebabkan nak tutup malu, aku katalah tergelak besar sebab kelakar sangat! Malu weh kena tegur depan-depan. Tak mengapalah, kali pertamakan?

“Nak dijadikan cerita, aku tinggal di rumah mertua selepas berkahwin sementara nak tunggu majlis kami. Sebabnya jarak di antara majlis di rumah aku dan kediaman Amri selang sebulan. Amri pula tiada rumah lagi dan tinggal bersama keluarga sebab kami menikah awal. Aku konon berserah hidup semati, susah senang bersama.

“Cintakan buta? Persiapan majlis kahwin sebelah Amri dibuat oleh ibu bapa mentua kecuali kad jemputan. Sebab aku sudah tempah siap-siap. Sama dengan kad belah keluarga aku. Ketika mama mentua dapat kad itu, dia cakap malu nak berikan dekat rakan-rakannya dan abah. Tiada sampul atau lipat-lipat. Terlalu sederhana.

“Kecil hati aku. Sebabnya kad itu aku yang buat, modal juga daripadaku yang masih belajar ini. Bukan Amri! Tak mengapalah, aku pujuk hati. Mungkin ini yang dinamakan adaptasi dengan keluarga mertua. Beberapa bulan selepas itu, aku mengandungkan anak sulung kami. Waktu itu aku memang mashaAllah, malas sangat.

“Tinggal pula di rumah mertua. Tak larat nak makan, lipat baju atau berdiri. Mungkin sebab anak sulung, aku tak dapat adaptasi dengan perubahan hormon mengandung itu. Mentua pula aktif dengan aktiviti surau dan komuniti. Maka, Amri perlulah belikan aku sarapan dengan makanan tengah hari sekali. Tiada orang lain.

“Sampaikan aku pernah makan nasi lemak basi sebab sebab tiada makanan. Waktu itu, aku memang lemah sangat. Belum ada aplikasi penghantaranan makanan ketika itu. Aku terus telefon mak. Nangis-nangis nak balik sebab aku rasa diabaikan dalam keadaan mengandung. Tiada kereta atau motor nak keluar beli makan.

“Amri juga serba salah. Dia tersepit, nak jaga aku tetapi kena tinggal bersama orang tuanya. Dia pula anak sulung, lelaki tunggal. Pernahlah juga aku terlambat sidai baju, waktu itu hari minggu. Aku dengan Amri keluar beli barang dapur. Tiba-tiba, dapatlah kiriman gambar baju kena bakar dekat laman rumah melalui Whatsapp.

“Pesanan itu bertulis, ‘Lain kali kalau reti membasuh tetapi harap orang lain sidaikan, jangan basuh’. Sumpah aku macam terpana. Kalau marah sekali pun, jangan sampai merosakkan harta benda. Lama-kelamaan kami buat keputusan untuk pindah keluar. Duduklah kami di sebuah apartment murah terletak di Puncak Alam.

“Masa itu, hari-hari aku masak. Siap bekalkan makanan untuk Amri pergi kerja juga. Gaji dia RM2500 masa itu. Terfikir juga nak kerja sementara tunggu tamat pengajian. Tetapi disebabkan perut sudah boyot, siapa nak ambil aku kerja? Alhamdulillah, Amri berikan nafkah RM250 sebulan. Ibu bapa aku juga berikan duit RM300.

“Setiap bulan bantu untuk aku terus hidup. Ibu bapa aku memang sentiasa memberi sokongan. Beberapa bulan berlalu, tibalah waktu kelahiran Kakak. Aku sudah berada di rumah ibu bapaku. Amri bawa kereta Kelisa abahnya untuk dibawa kerja. Aku pula tiada harta lagi. Hari ketika berpantang, mentua kata nak melawat.

“Aku beritahulah dekat mak, besannya nak datang esok selepas waktu zohor. Maka, mak pun beria pesan makanan sedap-sedap sebab besan nak datang melawat cucu sulung. Hari yang dinantikan tiba. Zohor ke Asar, Asar masuk senja. Akhirnya mereka hanya beri salam untuk masuk ke rumah kami pada pukul 7 malam.

“Boleh bayangkan tak, berapa lama aku menahan dengar mak berleter bilalah besan nak sampai sepanjang hari? Alasannya adik bongsu Amri lambat siaplah, jalan sesak dan cari hadiahlah. Tak masuk akal betul. Malah hadiah aku dapat hanya sejambak bunga sempena melahirkan cucu sulung mereka.

“Situasi masa itu memang murung. Aku menangis selepas mentua balik. Tanya Amri, bunga itu untuk apa? Orang sudahlah baru lepas bersalin, menunggu seharian dekat rumah pula. Bunga untuk apa? Amri jawab sebab orang sakit selalunya dapat bunga dan buah. Mungkin sebab itulah keluarnya belikan bunga untuk aku.

“Aku ketap bibir, sakit hati. Sumpah berbulu mata nampak sejambak bunga di waktu senjakala. Siap ucapan, ‘Terima kasih lahirkan cucu sulung kami’. Sumpah otak aku dibisik setan fikir yang mereka anggap diri ini kilang lahirkan anak. Beberapa minggu selepas itu, Amri ajak aku berkunjung ke rumah mentua. 

“Konon sengaja bawa Kakak melawat datuk dan neneknya. Kakak baru 46 hari ketika itu. Aku masih menyusu badan. Selepas tiga hari dekat rumah mentua, mama cakap pergilah keluar berjalan kalau nak beli barang. Kakak dia boleh jaga. Waktu itu, ibarat pucuk dicita ulam mendatanglah aku rasa. Gedik nak keluar rumah.

“Sebab lama gila aku berpantang tak jumpa dunia. Sebelum keluar, aku mengepam siap susu siap-siap. Takut Kakak lapar, haus atau meragam. Sekurangnya ada susu. Aku sudah pesan dekat mama mentua, ambil sahaja susu dalam peti sejuk. Sebelum beri, letak dalam air suam sekejap. Selepas itu boleh bagi Kakak.

“Aku keluar dalam tempoh satu jam. Beli barangan dekat Tesco masa itu. Balik-balik tengok Kakak tengah minum air kosong. Terus aku campak barang dan tanya mentua kenapa beri Kakak air kosong. Nadanya tertinggi sedikit. Fahamkan, mak-mak kalau meroyan macam mana? Aku teruslah ambil anak aku dan bawa naik atas.

“Amri naik juga untuk memujuk aku, kata mama mentua mungkin terlupa susu ada dalam peti. Tak mati pun kalau minum air kosong. Istighfar aku. Meroyanlah aku tak nak makan petang itu. Peluk Kakak sahaja. Takut nak tinggal dia lagi. Malam itu selepas Maghrib, suami pujuklah aku beritahu abah dan mamanya nak jumpa di bawah.

“Aku tak nak. Berkeras nak balik esok pagi. Amri pujuk lagi dan akhirnya aku turun juga. Rupanya dekat ruang tamu, semua adik ipar tiga orang itu ada bersama abah mama mentua. Waktu itu juga abahnya bersuara, ‘Dalam rumah ini, tak pernah lagi anak-anak meninggikan suara dengan abah apatah lagi mama’.

“Katanya lagi, ‘Esok kalau kamu semua sudah berkahwin dan ada mentua, janganlah bawa perangai macam Kak Melati ini ke rumah mentua’. Nak tak nak, aku minta maaf di depan semua adik-beradik dan ibu bapa Amri. Tuhan sahaja tahu betapa malangnya nasib aku dipermalukan seperti itu. Malam itu juga aku maki Amri.

“Aku cakaplah, ‘Keluarga awak bodoh ini ke? Tahu tak, air kosong boleh sebabkan bayi kita mati. Awak ini berkahwin dengan doktor tahu tak?’. Amri boleh pula jawab, ‘Saya OK sahaja, tak mati pun. Hidup lagi’. Aku jawablah, ‘Sebab itu awak bodoh, tak mati tetapi bodoh!’. Aku sudah terasa tak lama jodoh kami berdua ini. Dengan toksik, egonya.

“Memang betul-betul redflag! Tetapi Amri pujuk agar aku bersabar. Dia minta maaf dan memujuk aku. Esok harinya, kami pulang ke rumah mak aku. Pendek cerita, pengajian tamat dan aku mulakan latihan kedoktoran di Melaka. Di kawasan kampung aku sahaja. Alhamdulillah, selesai juga latihan aku dalam tempoh dua tahun.

“Macam-macam ragam dan perangai Amri serta keluarga mentua yang aku pejamkan mata sahajalah semata-mata nak habiskan latihan. Jika aku layan drama gila mereka, mahu tiga ke empat tahun barulah habis. Diam tak diam, empat tahun kami PJJ (Perkahwinan Jarak Jauh). Antara permintaan suami adalah aku pindah ke Kuala Lumpur.

“Aku setuju. Cakap selepas jadi pegawai perubatan nanti, baru aku ikut dia ke Kuala Lumpur. Tetapi masa itu, Amri tiada rumah lagi. Masih menetap lagi bersama ibu bapa mentua. Aku terfikir yang PJJ sahaja penyelesaian terbaik. Kos sara hidup rendah, ibu bapa aku juga bolehlah bantu tengokkan Kakak kalau tengah on-call.

“Kakak juga dijaga oleh mak aku sejak lahir lagi. Jadi tiada masalah nak hadap kerenah Kakak. Namun pandangan Amri masa itu, aku telah memungkiri janji. Masa aku jadi pegawai perubatan, zaman COVID. Rezeki Allah, aku inilah barisan hadapan di hospital ketika itu. Malah di rumah juga aku berjuang habis-habisan.

“Makanya, Dr Melati juga melahirkan bayi COVID! Syukur Alhamdulillah. Cuma apabila jadi doktor junior di zaman COVID, penatnya lain macam. Jadi aku ambil keputusan berhenti kerja dengan Kementerian Kesihatan (KKM). Aku kerja di klinik lain, di Melaka juga. Tetapi daerah berbeza. Amri setuju sahaja. Tetapi dalam diam marah rupanya.

“Sebab aku tak ikut duduk dekat di Kuala Lumpur. Maka dengan itu, aku ambil keputusan untuk pindah keluar dari rumah keluarga dan kerja di klinik yang berlainan daerah. Aku juga ambil keputusan besar dengan meninggalkan organisasi kerja yang stabil dan mencabar diri berdikari dengan hidup menyewa di satu daerah asing.

“Aku bersendirian sahaja dengan anak-anak. Kerja Amri ini sangat fleksibel. Tak tentu waktu. Bila-bila masa sahajalah masuk pejabat. Ke luar negeri dan negara juga pernahlah! Jurutera kan. Kalau aku kerja dekat Kuala Lumpur dengan keluarga mentua yang toksik, mampukah aku bertahan seorang diri tanpa suami disisi?

“Amri nak aku bekerja di klinik hanya pada waktu pejabat. Walhal, tetap ada on-call walaupun jarang. Siap ada giliran doktor mana kena buat. Aku pula sudah menjadi ketua di klinik ini. Banyak pergi mesyuarat, jumpa orang, dan pergi ke program kesihatan. Semuanya memerlukan aku untuk bergerak keluar pejabat juga.

“Kadang-kadang perlu balik lewat dan hadiri program di hujung minggu. Apa pun, aku mahu bergerak ke hadapan daripada kehidupan ini. Doakan aku semoga kuat. Aku ini sudah separuh mental. Hari-hari aku rasa nak lenyapkan diri.” Kongsi Dr Melati (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Isteri orang lain semua membebel tapi dia berubah jadi pendiam, lepas sekali curang, terus aku taubat”