Malaysia Dateline

Hanya lapan boleh hadir majlis akad nikah di Sarawak

Hanya lapan orang sahaja dibenarkan hadir bagi majlis akad nikah untuk masyarakat Islam di Sarawak bermula semalam.

Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dalam satu kenyataan berkata, kebenaran tersebut hanya tertakluk kepada pasangan yang telah mendapat tarikh dan kebenaran daripada Pejabat Agama Islam Bahagian (PAIB) atau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dan premis Majlis Islam Sarawak.

Bagaimanapun, kata kenyataan itu majlis akad nikah hanya boleh dilangsungkan sekiranya memenuhi beberapa ketetapan yang telah digariskan berikutan pematuhan standard operasi prouder (SOP) yang dilaksanakan.

“Antaranya ialah mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak serta agensi penguatkuasaan lain berhubung kawalan penularan wabak penyakit.

“Pasangan juga harus memakai pelitup muka dan hidung, mengambil imbasan suhu badan (hanya individu suhu bandan tidak melebihi 37.5 sahaja dibenarkan), mencuci tangan menggunakan pembersih tangan dan memastikan penjarakan fizikal 1 meter.

“Kehadiran maksimum adalah seramai lapan orang, termasuk jurunikah dan saksi serta tertakluk kepada kapasiti ruangan yang digunakan,” jelas kenyataan itu.

Pada masa sama, tegas kenyataan itu lagi kenduri bagi meraikan akad nikah ini adalah tidak dibenarkan, malah tempoh masa akad nikah cuma dibenarkan selama 20 minit.

“Majlis adat seperti pertukaran barang hantaran, menyarung cincin atau seumpamanya tidak dibenarkan.

“Selain itu, menunjukkan status risiko Covid-19 terkini kepada petugas pendaftaran sebelum memasuki premis dan mengimbas kod QR MySejahtera (hanya individu yang berstatus ‘risiko rendah’ sahaja dibenarkan masuk),”tambah kenyataan itu.

Sehubungan itu, kata kenyataan itu garis panduan ini berkuatkuasa mulai 20 Zulkaedah 1442H bersamaan 1 Julai 2021 dan boleh dipinda dari semasa ke semasa.