Malaysia Dateline

Hanya masa PH Profesion Guaman Syarie diaktakan, masa BN dalam fail sahaja

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa tidak berpuas hati terhadap jawapan diberikan Menteri Agama, Idris Ahmad berhubung Akta Profesion Guaman Syarie (2019) di Parlimen semalam.

Mujahid memberi peringatan kepada Idris agar tidak meng-autakan fakta apabila mengeluarkan kenyataan bahawa akta berkenaan bukan di zaman Pakatan Harapan (PH).

Beliau menegaskan, pindaan berkenaan sebenarnya telah berjaya diaktakan hanya ketika pentadbiran PH dan bukan ketika pentadbiran sebelumnya.

“Jawapan Menteri Agama tentang Akta Profesion Guaman Syarie (2019) respon kepada Yb Hulu Langat di Parlimen kononnya (akta tersebut) bukan di zaman PH, adalah silap.

“Hanya di zaman PH ianya berjaya diaktakan, sebelumnya hanya dalam fail sahaja. Jangan autakan fakta,” ciapnya di Twitter.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Dr Hasanuddin Yunus  menyokong ciapan itu dan berkata, pemimpin Pas sendiri turut malu dengan kualiti jawapan yang diberikan Idris semalam.

“Saya ingat saya seorang rasa sangat malu dengan kualiti jawapan si dia ini.

“Pemimpin Pas yang saya temui di Parlimen turut merasakan perkara yang sama. Apatah lagi mantan Menteri Agama Dr Mujahid Yusof Rawa,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook pagi ini.