Malaysia Dateline

Hanya media kerajaan dibenar buat liputan sidang Parlimen 18 Mei

Hanya media kerajaan dibenarkan untuk membuat liputan pada sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada 18 Mei ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurut Takiyuddin, beliau difahamkan, Speaker Dewan Rakyat hanya membenarkan beberapa media kerajaan untuk membuat liputan pada persidangan kali ini.

“Ini kuasa yang telah diberikan oleh peraturan dewan kepada Speaker (Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof).

“Saya difahamkan Speaker hanya membenarkan di dalam dewan hanya beberapa media kerajaan misalnya RTM, Bernama dan media Parlimen.

“Itu budi bicara Speaker. Jika pihak media hendak merayu, kena merayu kepada Speaker kerana ianya bukan kuasa pihak kerajaan,” katanya.

Seperti dilaporkan Astro Awani hari ini, Takiyuddin berkata, sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei ini akan mengutamakan urusan-urusan kerajaan terlebih dahulu sepertimana amalan biasa.

Takiyuddin menjelaskan, sebarang usul daripada pembangkang jika diterima oleh Speaker, perlu menunggu urusan kerajaan diselesaikan terlebih dahulu.

Beliau memberitahu seperti kebiasaannya, pihak kerajaan mempunyai beberapa urusan seperti usul dan juga Rang Undang-Undang yang perlu dibentangkan.