Malaysia Dateline

‘Hanya Melayu sendiri dengan kerajaan sedia ada pulihkan maruah bangsa’

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengingatkan tentang peranan orang Melayu untuk memelihara maruah bangsa mereka sendiri.

Berucap selama 50 minit sempena Kongres Maruah Melayu, Perdana Menteri berkata, maruah orang Melayu dapat dipulihkan dengan kerajaan sedia ada.

“Hanya orang Melayu sendiri dengan kerajaan yang ada sekarang dapat pulihkan maruah bangsa kita,” tegasnya.

Beliau berkata, orang Melayu mesti menyumbang tenaga bekerja memperkayakan diri tanpa terlalu bergantung pada bangsa lain.

“Saya amat malu kita terima (bantuan) RM500 setahun. Bukan main bangga. Kita perlu sumbang tenaga, sumbang kerja.

Antara mereka yang hadir di Kongres Maruah Melayu di Shah Alam hari ini.

“Kita perlu lakukan kerja yang sekurang-kurangnya tidak berat. Hari ini pekerja restoran tidak faham bahasa Melayu. Bila ditanya ada dari Filipina, Bangladesh.

“Takkanlah kita tak boleh buat, itu pun tak nak kita buat?” bidas Tun Mahathir.

Presiden parti Bersatu itu juga mendakwa kadar gaji pada masa ini sudah mencukupi.

“Sebenarnya gaji sudah lebih. Dulu gaji sebulan 12 ringgit. Sekarang gaji RM1,000 naik RM2,000 pun masih lagi kata rendah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap penganjuran kongres anjuran empat universiti awam itu tidak sekadar menjadi acara untuk meminta orang lain melakukan sesuatu.

Antara pimpinan parti politik yang hadir.

“Maruah kita, kita pulihkan sendiri. Kalau kita tidak buat sesuatu, Tuhan tak akan makbulkan doa kita.

“Saya orang Melayu walaupun ada orang pertikai. Saya memenuhi ketiga-tiga ciri takrifan Melayu dalam Perlembagaan.

“Dalam negara kita sendiri, ada tempat-tempat bukan mikik Kita. Ini berlaku kerana kita tidak sanggup bekerja keras pertahankan maruah kita,” katanya lagi.