Malaysia Dateline

Hanya pentingkan kerjaya politik, Hamzah patut letak jawatan

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud disaran untuk menasihatkan Datuk Seri Hamzah Zainuddin agar meletak jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri serta-merta.

Walaupun ini adalah sukar melaksanakannya kerana Khairul adalah kawan baik kepada Hamzah, namun ianya perlu dilakukan demi kebaikan dan kesejahteraan negara tercinta kita.

Seperti yang Khairul sedia maklum, rakyat Malaysia telah korban terlalu banyak dari segi kewangan, gaya hidup, dan juga kesejahteraan mental bermula dengan PKP 1.0 sehingga kini.

Malah, Malaysia berjaya membendung wabak ini daripada berleluasa seperti sekarang melalui pengorbanan yang telah dilakukan pada PKP 1.0.

Malangnya, segelintir pemimpin kita mempunyai rancangan yang berbeza untuk negara, dan tidak prihatin kepada kesejahteraan rakyat Malaysia.

Pertama, Hamzah sibuk berpolitik, dan pertengahan tahun lepas telah berjumpa dengan Tan Sri Musa Aman untuk menghasut pertukaran kerajaan Sabah.

Tanpa hasutan ini, walaupun Sabah mungkin bukan bersama kroni kerajaan sekarang, tetapi negara ini tidak akan melihat kes Covid-19 yang berleluasa dan kematian yang mendadak sehingga hari ini.

Akibat sikap Hamzah yang hanya mementingkan kerjaya politik, maka rakyat terpaksa sengsara lagi.

Kedua, tidak dinafikan Malaysia mempunyai ramai pendatang tanpa izin yang bekerja di sini tanpa membayar cukai, ada juga yang terlibat dengan jenayah.

Namun, perkara ini bukannya baharu, sudah berpuluh tahun keadaan begini dan Jabatan Imigresen sendiri tidak pernah serius dalam menangani masalah pendatang asing sebelum Covid-19 pun.

Tiba-tiba waktu wabak sedang mengganas, masa itulah Hamzah dan Jabatan Imigresen Malaysia mahu tunjuk taring, dan menangkap pendatang asing.

Apa yang berlaku sebelum ini, apabila Imigresen menangkap pendatang asing apabila mereka keluar untuk membuat ujian calitan, ada antara mereka yang telah dijangkiti Covid-19.

Apabila dihumban masuk penjara, di situlah puncanya kluster penjara, yang sehingga ini menjadi titik cetusan keganasan wabak ini, selain pilihan raya negeri (PRN) Sabah.

Sekarang ini pula, Hamzah mahu ulang semula kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini, pada detik sistem kesihatan negara dalam keadaan yang kronik.

Malaysia tidak mempunyai ruang untuk mengulangi kesilapan yang sama. Pemikiran Hamzah sangat berbahaya dan harus dihentikan dengan menasihatkan beliau untuk meletak jawatan dengan serta-merta.

Jika Hamzah tidak mengambil apa-apa inisiatif, tercatatlah dalam sejarah gelap Malaysia bahawasa perkara yang dapat dielakkan telah disengajakan oleh segelintir pihak dalam Kementerian Dalam Negeri untuk membawa kesengsaraan kepada rakyat Malaysia.