Hanya perlu guna 1 bahan, ini cara semula jadi untuk halau anak lipas dalam kereta

Oleh WAN SITI AMINAH

Pemilik kereta di Asia Tenggara khususnya pasti pernah mengalami masalah di mana anak lipas ‘bermaharajalela’ dalam kenderaan anda.

Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan termasuklah mengguna penyembur racun serangga, namun haiwan berkenaan nampaknya begitu sukar untuk dihapuskan.

Menyedari kegusaran orang ramai, seorang pengguna Facebook tampil berkongsi petua yang berkesan menghalau anak lipas tanpa membeli sebarang produk kimia.

Hanya perlu membeli satu bahan, berikut kami kongsikan cara semula jadi menghalau anak lipas dari mendiami kereta berdasarkan satu hantaran tular di laman Facebook.

“Dua hari umpan lipas dalam kereta. Lumayan juga hasilnya. Sebekas ini adalah hasil tangkapan malam tadi. Yang kelmarin punya sudah buang, tetapi banyak jugalah.

“Rasanya perlu buat sekali lagi malam ini. Kalau sembur Ridsect sahaja tak nampak pula lipas mati. Bila buat cara ini baru tahu banyak rupanya lipas di dalam kereta.

“Boleh kongsikan tips ini biar ramai boleh buat juga. Mari kita tangkap lipas banyak-banyak.” Kata pemilik akaun Facebook yang bernama Wajihah Derus Bilis Sabah itu.

Bahan-bahan:

  • Susu pekat
  • Air paip
  • Bekas yang sudah tidak digunakan

Cara-cara penyediaan:

1. Bancuhkan susu pekat bersama sedikit air paip di dalam bekas yang sudah tidak digunakan lagi. Pastikan bancuhan tidak terlalu cair. Buatlah sedap-sedap sedikit.

2. Apabila sudah siap, letakkan bekas yang berisi bancuhan perangkap tersebut di dalam kereta anda pada malam hari.

3. Hasilnya boleh mula dilihat pada keesokkan paginya. Sekiranya bancuhan tersebut menjadi, anda akan ternampak banyak anak lipas terperangkap dalam itu.

4. Kongsikan langkah dan hasilnya kepada orang ramai agar masalah ini boleh terus dibanteras oleh pemilik kenderaan lain.

Baca juga: Mahasiswa kempen beri deodoran percuma jika menang jadi MPP, tak sangka ramai undi sampai betul-betul menang