Malaysia Dateline

Hanya produktiviti mampu atasi kemiskinan, kata Mahathir

Pemberian bantuan dan subsidi secara berterusan tidak akan dapat membantu golongan kurang berkemampuan.

Justeru, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan memperkenalkan langkah-langkah terbaik yang akan dapat membantu golongan ini menambah pendapatan.

Atas sebab itu, pihak kerajaan dan penjawat awam perlu berganding bahu memberi penjelasan kepada rakyat bahawa kemiskinan hanya mampu ditangani dengan usaha dan produktiviti.

“Dahulu kita membantu dengan cara memberi bantuan dan subsidi, tetapi ia tidak membantu membawa mereka keluar dari kemiskinan.

 “Kenapa mereka miskin? Kerana mereka tidak produktif dan tidak menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

“Jadi, kita semua, baik kerajaan yang dipilih mahupun jentera kerajaan yang ada hari ini, perlu jelaskan kepada rakyat bahawa hanya produktiviti mampu mengubah situasi mereka,” kata beliau seperti dipetik laporan Astroawani hari ini..

Tun Mahathir berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

“Kita faham ada yang tidak tahu dan tidak berkemahiran. Tetapi ia bukan masalah jika kita sanggup belajar, bukan sahaja dari segi cara kerja tetapi juga tugas-tugas kita,” tambah beliau.

Perdana Menteri juga meluahkan keyakinan bahawa jika semua pihak menggembleng usaha dan tenaga untuk memperbaiki taraf ekonomi, status negara maju akan dapat dicapai lebih awal berbanding sasaran awal pada 2030.