Hanya projek penswastaan untungkan DBKL, penduduk akan dilaksana selepas ini

Khalid menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang menyertai majlis raya anjuran AMANAH Wilayah Persekutuan di Cheras semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan berjanji akan mempastikan semua projek penswastaan di Kuala Lumpur mempunyai kepentingan Dewan Bandaraya dan penduduknya bukan kerana kepentingan pihak swasta terbabit selepas ini.

Bercakap kepada media ketika menyertai majlis hari raya AMANAH Wilayah Persekutuan di Cheras semalam, Khalid Abdul Samad berkata, beliau akan memastikan amalan yang salah selama ini tidak berulang.

“Apa-apa jua usaha penswastaan kita akan pastikan ada sebab-sebab yang jelas dan nyata serta mendatangkan manafaat kepada DBKL dan warga bandaraya.

“Apa juga jenis penswastaan yang memberikan keuntungan kepada syarikat kroni, ia akan dikaji cara bagaimana ia boleh ditamatkan.

“Kita tidak mahu keadaan di mana syarikat-syarikat tertentu meraih keuntungan daripada projek-projek yang boleh dilakukan oleh DBKL sendiri,” kata Khalid.

Khalid mengulas pertanyaan media berhubung dengan penswastaan bahagian ‘clamping’ (mengunci) kenderaan yang melakukan kesalahan di Bandaraya padahal DBKL mempunyai bahagian berkenaan sendiri.

DBKL telah menswastakan bahagian parkingnya kepada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang kemudiannya menswastakan pula kepada sebuah syarikat iaitu Vista Summerose sebagai kontraktor pelaksananya.

YWP sepatutnya berperanan untuk menjaga kebajikan penduduk Wilayah Persekutuan bagi pihak Kementerian Wilayah.

Menurut Khalid, polisi menyerahkan kepada swasta untuk melakukan tindakan ‘clamping’ ini telah dibuat oleh DBKL sebelum ini dan beliau akan mengkaji balik tindakan ini.

“Saya akan berjumpa secara rasmi dengan DBKL Isnin ini untuk mendengar taklimat umum mengenainya,” kata Khalid.

Khalid dijangka akan membuat kunjungan rasmi pertama ke DBKL petang Isnin ini selepas dilantik sebagai Menteri Wilayah dan mula mengangkat sumpah Isnin lepas.

Selain mendengar taklimat dan berbincang secara umum tentang peranan DBKL, Khalid dijangka melawat projek ‘River of Life’ yang dilaksanakan oleh kementerian sebelum ini di Kuala Lumpur.

Selepas masuk secara rasmi ke kementerian Selasa lepas, dan mendapat taklimat tentang kementerian itu, Khalid telah berkunjung ke Perbadanan Putrajaya Khamis lepas.

Minggu depan Khalid akan ke Labuan bagi mendengar taklimat dari Perbadanan Labuan, salah satu lagi wilayah yang terletak di bawah kementerian beliau.

 

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote