Malaysia Dateline

Hanya Sabak Bernam bebas, 34 mukim di Selangor dikenakan PKPD

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksana di 34 mukim di lapan daerah di Selangor selama 14 hari bermula 3 Julai ini sehingga 16 Julai depan.

Hanya daerah Sabak Bernam dengan jumlah lima mukim bebas daripada perintah pergerakan tersebut.

Ini bermakna 61 peratus daripada jumlah keseluruhan 56 mukim di Selangor tertakluk pada PKPD.

Seluruh mukim di daerah Klang, Sepang, Gombak dan Petaling dikenakan PKPD.

Semakan menerusi carta Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mendapati kesemua mukim dalam daerah terbabit berada dalam zon merah dalam tempoh 14 hari sejak 18 Jun lalu.

Walau bagaimanapun, dua mukim zon merah di Kuala Selangor tidak termasuk dalam senarai PKPD iaitu Kuala Selangor dan Tanjung Karang.

Kedua-dua mukim itu masing-masing merekodkan 41 kes dan 87 kes dalam tempoh dua minggu lalu.

Selangor terus mencatatkan rekod membimbangkan apabila terdapat 2,885 kes Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 251,636 kes.

Antara ketetapan yang perlu dipatuhi penduduk sepanjang tempoh PKPD ialah:

1.Semua laluan kawasan PKPD akan ditutup dan dikawal oleh PDRM.

2. Semua penduduk dalam kawasan PKPD tidak dibenarkan keluar dari kediaman masing-masing kecuali seorang sahaja wakil isi rumah, hanya untuk keluar membeli keperluan asas di kawasan PKPD dalam radius 10 kilometer dari kediaman.

3. KKM akan melaksanakan ujian saringan secara bersasar terhadap semua penduduk di kawasan terlibat.

4. Pergerakan rentas daerah dan negeri bagi tujuan vaksinasi Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di luar daerah atau negeri tempat tinggal dibenarkan dengan menunjukkan butiran temu janji di MySejahtera, laman sesawang atau SMS.

5. Lapangan terbang dan Pelabuhan dibenarkan beroperasi seperti biasa.

6. Aktiviti dan perkhidmatan pengangkutan awam (kereta api, komuter, bas, lapangan terbang, teksi, feri, e-hailing) dibenarkan beroperasi seperti biasa dengan kapasiti 50 peratus.

7. Bilangan penumpang dalam teksi dan kenderaan e-hailing dihadkan dua orang sahaja termasuk pemandu.

8. Tiada sebarang pergerakan tidak perlu di luar kawasan kediaman selepas jam lapan malam kecuali bagi kes-kes kecemasan atau mendapat kebenaran polis.

9. Hanya sektor perkhidmatan perlu dibenarkan untuk beroperasi dari lapan pagi hingga lapan malam seperti utiliti, pembersihan dan kumbahan.

10. Kilang bahan makanan dan keperluan asas harian seperti beras, roti putih , gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar, susu tepung bayi, ubat-ubatan, dan topeng muka dibenarkan beroperasi.

11. Kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu atau menjalankan tugas rasmi kerajaan dengan surat pengesahan daripada majikan atau pas pekerja yang sah.

12. Pekerja selain daripada perkhidmatan perlu tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPD. Majikan dikehendaki mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja-pekerja bekerja dari rumah.

13. Pekerja daripada perkhidmatan perlu dan kilang-kilang serta premis premis perniagaan yang dibenarkan sahaja boleh menggunakan surat Miti yang telah dikeluarkan sebelum ini.

14. Restoran, kedai/gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera/pusat penjaja, gerai makan tepi jalan / kiosk dibenarkan beroperasi antara lapan pagi hingga lapan malam.

15. Pembelian makanan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja dibenarkan.

16. Kedai runcit, kedai serbaneka, kedai barangan keperluan harian dibenarkan beroperasi antara lapan pagi hingga lapan malam.

17. Hospital, klinik dan makmal perubatan dibenarkan beroperasi sehingga 24 jam atau mengikut lesen kebenaran.

18. Kedai farmasi, kedai penjualan ubat-ubatan, klinik haiwan dan kedai makanan haiwan dibenarkan beroperasi antara lapan pagi hingga lapan malam.

19. Stesen minyak dibenarkan beroperasi antara enam pagi hingga lapan malam kecuali stesen minyak di lebuh raya bertol beroperasi sehingga 24 jam.

20. Pasar borong dibenarkan beroperasi bermula 12 tengah malam hingga enam pagi.

21. Pasar awam, Pasar Tani Kekal (PTK) dan MyFarm Outlet (MFO) dibenarkan beroperasi bermula enam pagi hingga dua petang.

22. Sebarang aktiviti sukan, sosial, rekreasi dan budaya adalah tidak dibenarkan.

Maklumat terperinci mengenai SOP boleh dirujuk di laman sesawang MKN di https://www.mkn.gov.my.