Malaysia Dateline

Hanya satu cara elak DUN Melaka tergantung, pengundi harus undi PH

Hanya ada satu cara sahaja untuk mengelakkan daripada DUN Melaka tergantung sebagaimana yang dinyatakan oleh calon PN Mas Ermieyati iaitu pengundi di semua 28 DUN hendaklah mengundi Pakatan Harapan.

Pengerusi DAP Kedah Zulhazmi Shariff berkata, dengan cara ini sahaja yang boleh dilakukan bagi mengekalkan kestabilan politik di Melaka untuk lima tahun mendatang.

“Jika PN dan BN diberi undi, mereka bergabung lagi, tidak mustahil bulan depan, tahun depan, tahun depan lagi, Kerajaan Melaka bertukar Ketua Menteri lagi, tumbang lagi, pilihan raya lagi.

“Dah tak ada kerja lainkah kita hanya perlu melayan karenah kuasa PN dan BN.

“Cukuplah. Kita semua bukan bodoh seperti yang mereka sangka. Kita ajar kebodohan mereka. Kali ini di Melaka, selepas ini di seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan calon PN di Dun Tanjung Bidara Ermieyati yakin tiada gabungan politik yang akan mendominasi pilihan raya kali ini.

Dia yang juga ahli parlimen Masjid Tanah itu berkata, ini kerana Umno memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu.

Menurut Zulhazmi Dun Melaka mempunyai 28 kerusi yang ditandingi oleh PH, PN dan BN bagi mentadbir Melaka dengan majoriti mudah.

Namun katanya yang juga seorang peguam, masing-masing PH, PN atau BN perlu memperolehi sekurang-kurangnya 15 kerusi.

Katanya, inilah kegilaan PN dan BN di mana mereka boleh bersama di Persekutuan tetapi bergaduh berebut kuasa dan beradu kekuatan di Melaka.

“Ini bukan baru. Sejarah pernah menunjukkan kepada kita dalam pilihan raya negeri Sabah tahun lepas.

“BN lawan PN dan lawan Warisan bersama PH. Akhirnya keputusan memihak kepada Warisan bersama PH tetapi tidak mencukupi majoriti mudah untuk mentadbir.

“Apa yang berlaku selepas itu? PN dan BN bergabung semula membentuk Kerajaan Sabah. Difaraid jawatan sesama mereka dalam kekalutan,” kata beliau.

Justeru katanya, gabungan PN dan BN ini bukan gabungan atas semangat kesepakatan untuk kebaikan negeri, negara atau masyarakat tetapi kesepakatan demi kuasa untuk kepentingan politik parti mereka sahaja.

“Tiada apa-apa kebaikan untuk rakyat atas gabungan mereka. Sesama mereka boleh memaki hamun satu sama lain.

“Umno mencaci Pas, Pas menuduh Umno tidak bermoral dan ekstrim. Tetapi mereka bersama hanya kerana kuasa. Asalkan ada kepentingan kepada mereka,”ujarnya lagi.