Hanya satu mayat ditemui sehingga tengahari ini, identiti belum dikenal pasti

Hanya satu mayat ditemui sehingga tengahari ini, identiti belum dikenal pasti

Satu mangsa sudah ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dalam nahas membabitkan sebuah helikopter model Eurocopter AS350 awal tengahari ini.

Mayat yang ditemui dilaporkan seorang wanita telah ditemui pada jam 12.00 tengahari tadi tidak jauh dari lokasi serpihan pesawat dijumpai.

Pengarah SAR Nor Hisham Mohamad menafikan maklumat yang tersebar di media sosial yang menyebut dua mayat ditemui.

“Setiap minit kita berhubung dengan pasukan mencari dan penyelamat dan setakat ini hanya satu mayat wanita ditemui,” ujarnya.

“Maklumat mengatakan dua mayat ditemui seperti diviralkan tidak benar,” katanya sebagaimana dilaporkan Buletin Awani sebentar tadi.

Manakala Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengesahkan mayat seorang wanita dijumpai di kawasan serpihan helikopter yang hilang di Sungai Batang Lupar, Sarawak.

Bagaimanapun mayat terbabit masih belum dikenal pasti‎ dan beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi bagi menjaga perasaan keluarga mangsa.

“Saya menerima ‎maklumat dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan melalui misi pencarian itu mereka menemui mayat itu.

“Namun kita masih menunggu maklumat susulan sama ada ia merupakan mayat mangsa dari helikopter terhempas itu atau dari insiden lain,” katanya kepada media di Kota Bharu di Pejabat MCA di sini pagi tadi.

Tiong Lai berkata, bagi menangani insiden terbabit dua pusat operasi ditubuhkan di Ibu Pejabat Putrajaya dan Kuching.

“Pusat operasi di Putrajaya merupakan tempat untuk menyalurkan maklumat kepada keluarga manakala di Kuching sebagai tempat Misi Mencari dan Menyelamat (SAR).

“Kita akan maklumkan maklumat lanjut dari semasa ke semasa bagi perkembangan terkini misi pencarian,” katanya.

Serpihan helikopter model Eurocopter AS350 dinaiki kenamaan yang hilang sejak petang semalam dijumpai di Sungai Batang Sadong, Simunjan.

Usaha mencari dan menyelamat di kawasan terbabit diteruskan pagi ini.

Bahagian helikopter yang ditemui adalah kipas, kerusi, bahagian pintu, alat pengapung dan sebahagian dinding helikopter.

Helikopter yang membawa pegawai tinggi kerajaan dari Betong ke Kuching itu hilang dari paparan radar lewat petang semalam dekat Sebuyau.

Helikopter yang membawa enam orang termasuk juruterbangnya itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan suami, Asmuni Abdullah serta Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar.

Penumpang lain ialah Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran Ann Amalai serta pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri.

Pesawat itu dilaporkan diterbangkan oleh Kapten Rudolf Rex Ragas.

COMMENTS

Wordpress (0)