Malaysia Dateline

Hanya sokongan kepada kerajaan bukan sertai PN

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, partinya membuat keputusan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN).

Katanya, sokongan Umno kepada kerajaan PN hanya berlandaskan sokongan Ahli-ahli Parlimen parti dan BN serta ADUN dalam pembentukan kerajaan Pusat dan di beberapa negeri tertentu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, Umno sebaliknya akan memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan Pas dan komponen BN.

Selain itu, Zahid mengesahkan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menyatakan hasrat parti tersebut untuk menyertai MN.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pertemuan dengan Ahli-ahli Parlimen BN tengah hari semalam di bangunan Parlimen telah menyatakan hasrat PPBM (Bersatu) untuk menyertai MN.

“Hasrat PPBM ini akan diperbincangkan dengan pihak PAS untuk diperhalusi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Induk MN sebelum ini telah memutuskan untuk Umno dan Pas memberi keutamaan bagi memperkukuhkan MN.

“Saya akan menyerahkan kepada JK Induk MN untuk mempertimbangkan hasrat PPBM sekiranya berkemampuan untuk memperkukuhkan lagi MN demi kepentingan rakyat dan negara,” jelas Zahid lagi.