Malaysia Dateline

Hanya ‘walaun’, ‘walauntit’ yang masih bersama Pas, kata Prof Agus

Profesor Dr Agus Yusof menyifatkan, yang masih bersama dengan Pas ialah ‘walaun’ dan ‘waluntit’ sahaja, yang mendakwa memperjuangkan Islam, tetapi bila memberi komen dan meraikan perbezaan pendapat, tidak menunjukkan akhlak Islam.

Dalam posting terbarunya di facebook beliau, saintis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, orang Pas yang profesional dan tidak taksub pula, sudah ramai yang meninggalkan Pas.

Agus mengulas ucapan presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kerdau, Temerloh menjelang pilihan raya kecil Sandakan yang diadakan semalam.

(Walaun dan walauntit adalah istilah yang digunakan untuk melebelkan penyokong tegar Pas oleh pihak yang menyerang parti itu)

Agus Yusoff
Begitulah jadinya apabila kita menggunakan Islam untuk mempolitikkan Islam Selagi Pas Umno mempolitikkan Islam maka selagi itulah saya menilai kerjasama Pas Umno ini sama seperti menonton Opera Cina katanya

“Semalam semasa berucap di Kerdau, Temerloh, TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) menyatakan Pas dan Umno akan bergabung menjelang PRU-15.

“Katanya, usaha itu boleh berjaya kerana Pas dan Umno sudah bersih selepas beberapa individu bermasalah meninggalkan kedua-dua parti berkenaan,” tulis Agus.

Kata TGHH lagi, tulis Agus, perpecahan serius dalam kalangan masyarakat Melayu terjadi kerana ada individu yang ekstrem dalam Pas dan Umno.

Antara individu yang beliau (Hadi) namakan ialah DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang dibawa menyertai Umno oleh Dr Mahathir.

“Saya setuju Pas-Umno hendak bergabung, tetapi bilakah tarikhnya yang tepat? Tanpa tarikhnya yang tepat, saya menilai kerjasama PAS-Umno sekarang seperti opera Cina.

“Kenapa saya kata Opera Cina? Ini kerana secara secara faktanya, Pas tidak pernah setia dengan rakan. Saya yakin menjelang penamaan calon PRU-15 semasa pembahagian kerusi nanti, Umno akan menjadi mangsa terbaharu,” kata Agus.

Menurut Agus, berdasarkan pandangan Abdul Hadi, gabungan Pas-Umno sudah boleh dibuat kerana Pas-Umno sudah bersih dari individu bermasalah.

“Bila bersihnya? Realitinya, ramai yang sedang didakwa sekarang masih dalam Umno,” kata Agus lagi.

Agus juga menolak kenyataan Hadi, perpecahan dalam masyarakat Melayu kerana ada individu ekstrem dalam Umno dan Pas dan hendak dipersalahkan pada DSAI.

“Bila pula DSAI ekstrem? Yang ekstrem pada saya ialah yang menuduh orang yang tidak sehaluan sebagai kafir dan pelbagai gelaran seumpamanya,” katanya.

Bagi Agus, apa yang berlaku adalah kerana Pas dan Umno menggunakan Islam untuk berpolitik.

“Begitulah jadinya apabila kita menggunakan Islam untuk mempolitikkan Islam. Selagi Pas-Umno mempolitikkan Islam, maka selagi itulah saya menilai kerjasama Pas-Umno ini sama seperti menonton Opera Cina,” katanya.