Malaysia Dateline

Hanya yang menyumbang kepada Bersatu akan diterima

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memastikan bahawa hanya bekas anggota UMNO yang boleh menambah nilai kepada parti akan diterima menyertai mereka.

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sesiapa jua ‘muka baru’ dari UMNO akan disaring terlebih dahulu bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang amalan rasuah atau aktiviti jenayah sebelum diterima.

“Dari sudut politik, kita akan lihat sama ada mereka cukup baik untuk menyertai Bersatu dan memenuhi (objektif) perjuangan serta perlembagaan kita, dan menyumbang kepada pendirian teguh kita sebagai sebuah parti politik,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, sempena Perhimpunan Agung Tahunan parti itu 28-30 Dis di sini hari ini.

Beliau juga berkata mesyuarat hari ini tidak memberikan ‘lampu hijau’ kepada beberapa bekas pemimpin UMNO yang baru-baru ini memohon untuk menyertai Bersatu, seperti bekas Katua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Perhimpunan Agung Tahunan kali kedua Bersatu bermula dengan majlis perasmian perhimpunan sayap Armada serta Srikandi malam ini, manakala majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan dijadualkan berlangsung esok.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam negeri berkata beliau berharap para perwakilan akan mengambil peluang ini untuk berbincang mengenai isu-isu politik yang relevan serta perkara-perkara yang dipandang serius oleh orang ramai.

“Kita perlu bergerak ke hadapan untuk mengukuhkan parti, namun yang lebih penting lagi ialah apa peranan yang akan kita mainkan dalam kerajaan Pakatan Harapan dari segi menggerakkan (negara) ke hadapan dalam bidang ekonomi dan pendidikan,” katanya.

Katanya beliau juga memandang serius dalam mencari jalan untuk meningkatkan lagi perhubungan yang harmoni antara rakyat Malaysia.

“Kita perlu menangani isu-isu berkaitan bangsa dan agama, supaya kita dapat memajukan sebuah negara Malaysia yang bersatu. Ini boleh menjadi antara perkara yang kritikal yang harus dibahaskan semasa mesyuarat Agung Tahunan ini,” katanya.

Semasa ditanya mengenai isu kenaikan harga barang termasuk yang ditawarkan oleh restoran rangkaian makanan segera yang popular dalam negara, Muhyiddin berkata pihak berkuasa yang berkenaan perlu melihat perkara ini.