Malaysia Dateline

Hapus bangsa, agama dalam kad pengenalan hakis keistimewaan Islam dan Melayu

Cadangan supaya dibuang agama dan bangsa pada kad pengenalan kononnya bagi memelihara perpaduan, didakwa, mengandungi maksud  tersirat iaitu secara halus dan perlahan untuk menghakis keistimewaan Islam dan Melayu yang menjadi identiti Malaysia.

Demikian komen balas, Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang berkata, Agama dan bangsa adalah identiti diri yang menjadi punca perpaduan sebuah masyarakat seperti Malaysia bukannya pertembungan dan perpecahan.

“Cadangan ini adalah bunga-bunga idea Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP. Ia juga petanda bahawa perjuangan meratifikasi ICERD yang akan menghapuskan Islam dan Melayu di negara Malaysia sebenarnya sedang berjalan. Ia digerakkan dengan pelbagai cara dan helah.

“Indentiti agama dan bangsa tidak boleh dihapuskan bahkan ia adalah identiti yang mesti dipertahankan. Kepelbagaian kaum adalah fitrah penciptaan alam oleh Allah s.w.t.

” Manakala agama adalah pilihan diri sendiri berpandu petunjuk wahyu dan akal. Kedua-duanya menjadi keunikan identiti seseorang. Keunikan identiti perlu disantuni dengan betul kerana ia dapat memperteguh perpaduan dalam kalangan warganegara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Mariam Mokhtar

Beliau merujuk kepada kenyataan dibuat oleh pengkritik sosio-politik yang juga aktivis Mariam Mokhtar pada Ahad yang dipetik berkata, mencadangkan supaya identiti bangsa dan agama dalam kad pengenalan rakyat Malaysia dibuang demi mencapai perpaduan dalam negara.

Mariam Mokhtar turut menyenaraikan lima perkara lain yang perlu dilakukan untuk mencapai integrasi nasional.

Justeru kata Dr Mohd Khairuddin lagi, bukan kerana agama atau bangsa seseorang, perpaduan dalam kalangan kita menjadi bermasalah, apatah lagi pernyataan agama dan bangsa pada kad pengenalan.

“Tetapi perpaduan menjadi masalah apabila ada individu dan kelompok yang tidak mahu mengiktiraf sejarah pembentukan negara Malaysia.

“Perpaduan dalam kalangan kita juga bermasalah apabila ada pihak tidak mahu mengetahui dan sengaja tidak menghormati hak penganut agama dan bangsa lain lebih-lebih lagi yang merupakan populasi majoriti di negara ini.

“Jangan dijolok sarang tebuan wahai saudara,” tegasnya.