Malaysia Dateline

Hapus hutang peneroka Felda: Kerajaan perlu telus dan adil

Pengumuman Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sebahagian hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion dihapuskan telah menimbulkan pelbagai persoalan setelah tersebarnya perjanjian penghapusan pinjaman tersebut dan isu yang hangat diperkatakan oleh para peneroka ialah terma penyerahan pengurusan kebun peneroka kepada Felda.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional Faiz Fadzil, dalam kenyataan beliau hari ini berkata, persoalan yang timbul termasuklah berapa lama tempoh pengurusan kebun oleh Felda serta apakah formula kos-untung antara Felda dan peneroka dan apa pula hak peneroka sekiranya ingin menamatkan perjanjian jika baki hutang telah pun dijelaskan sepenuhnya.

“Terma-terma ini perlu dinyatakan secara jelas di dalam perjanjian tersebut supaya tidak wujud ketidakadilan atau ‘unfairness’,” katanya.

Beliau yang juga Adun Permatang Pasir berkata, kerana terma perjanjian yang tidak munasabah dan kuasa tawar-menawar yang tidak adil boleh menyebabkan perjanjian tersebut batal disisi undang- undang.

“Sebetulnya peneroka adalah pihak yang bergantung kepada Felda dan tawaran penghapusan hutang meletakkan mereka dalam situasi berat sebelah.

“Peneroka tidak boleh dibelenggu dengan beban hutang,” tambah beliau.

Kata Faiz, terma-terma yang jelas perlu dinyatakan dalam perjanjian tersebut supaya ianya lebih telus dan adil kepada kedua-dua pihak.

“Oleh kerana Felda adalah sebuah badan berstatutori yang ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan Tanah 1956, maka ia adalah sebuah entiti berkepentingan awam.

“Maka itu bukan sahaja peneroka berhak untuk mengetahui terma-terma penuh dan jelas mengenai perjanjian tersebut, malahan rakyat juga perlu diberikan makluman agar ketelusan serta akauntabiliti dalam tatakelola pemerintahan kerajaan yang dilaksanakan, ” ujar beliau yang juga merupakan pengamal undang-undang.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan akan menghapuskan hutang peneroka Felda bagaimanapun viralnya satu surat di mana peneroka didakwa menyerahkan kebun mereka sebagai syarat.