Hapus kuota khas haji menteri, Ahli Parlimen tindakan terpuji, kata Athirah

Hapus kuota khas haji menteri, Ahli Parlimen tindakan terpuji, kata Athirah

Langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghapuskan kuota haji khas buat menteri dan Ahli Parlimen bagi memastikan ketelusan merupakan tindakan terpuji, kata Penolong Setiausaha (PSU) AMANAH, Aiman Athirah Al-Jundi.

Menurutnya, pemansuhan kuota khas yang diamalkan kerajaan terdahulu seperti telah diumumkan Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof sejurus dilantik adalah amat wajar.

“Awalnya, saya sendiri agak terkejut kerana berpandangan apa salahnya kuota khas peruntukan VVIP itu terus wujud sekiranya ia tidak menafikan hak orang lain.

Aiman Athirah Al-Jundi

“Yakni tidak termasuk dalam peruntukan atau kuota biasa. Rakan-rakan dari parti pembangkang juga ada yang menganggap tindakan dan keputusan dasar yang dikemukakan oleh YBM Agama ini sebagai bodoh serta merugikan.

“Justeru kerana, pada amalan sebelum ini, kewujudan kuota khas VVIP itu nanti akan membolehkan para Menteri memberikan kuota tersebut sebagai hadiah kepada aktivis-aktivis parti (kerajaan).

“Kuota itu juga hadiah kepada yang memerlukan dengan mengambil kira pelbagai faktor yang dianggap sebagai wajar mengikut budi bicara Menteri sekali gus sebahagian daripada previledge mereka sebagai Menteri,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, jelasnya, selepas diberitahu bahawa kuota khas yang difahamkan berjumlah kira-kira 1,500 orang itu sebenarnya diambil daripada kuota biasa, saya akhirnya yakin dan percaya bahawa tindakan serta keputusan YB Menteri Agama adalah sangat wajar dan adil,” ujarnya.

Athirah berkata, kuota khas tersebut juga sebelum ini secara tidak langsung mengganggu atau menafikan hak bakal-bakal haji yang lebih lama menunggu hususnya dalam kalangan warga emas selain terdapat pihak tertentu yang menyalahgunakan kuota khas itu dengan menjadikannya sebagai bisnes.

“Mengambil kira dasar baharu ini sahaja pun, rakyat hakikatnya memperolehi pelbagai kebaikan, keuntungan dan amal ibadah yang InsyaAllah penuh keberkatan,” tambah Ahli Dewan Negara itu lagi.