Malaysia Dateline

Hapus tol berperingkat: Pemuda AMANAH sambut baik keputusan kerajaan

Pemuda AMANAH menyambut baik keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk meneruskan pemansuhan konsesi tol secara berperingkat, kata Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil.

Menurut Faiz lagi, pemansuhan tersebut adalah selari dengan manifesto PH dalam pilihan raya umum (PRU) ke 14 yang lalu.

Malah katanya, perbincangan kerajaan dengan Gamuda Berhad (Gamuda) untuk mengambil alih empat lebuh raya merupakan fasa kedua pemansuhan setelah pemansuhan bayaran tol berjaya dilaksanakan di tiga laluan motosikal Jambatan Pertama dan Kedua Pulau Pinang pada 1 Januari yang lalu.

“Dalam usaha mengurangkan kos sara hidup rakyat secara signifikan dan segera, Pemuda AMANAH mencadangkan supaya jalan-jalan tol yang menyaksikan trafik kenderaan yang tinggi, khususnya di kawasan bandar, haruslah diberi keutamaan dalam proses pemansuhan tol tersebut.

“Rundingan bersama Gamuda sepertimana yang diumumkan melibatkan tol lebuhraya LDP, SPRINT, Kesas dan SMART Tunnel di Lembah Klang akan memberi banyak manfaat kepada pengguna.

“Sebelum ini pengguna terpaksa membayar kadar tol yang tinggi, namun begitu tatkala ini pengguna akan menikmati diskaun sebanyak 30 peratus ketika waktu puncak serta tiada bayaran antara jam 11 malam hingga 5 pagi, ” ujarnya dalam kenyataan.

Jelas Faiz lagi, Pemuda AMANAH mengharapkan kerajaan dapat mengeluarkan statistik peratusan pengguna bagi kesemua empat tol terlibat yang menerima penjimatan tersebut.

Dengan statistik tersebut ujarnya, rakyat akan lebih memahami manfaat yang diterima serta juga menjawab kritikan negatif serta tidak berasas pembangkang.

Tambah beliau lagi, pelan penamatan konsesi tol secara berperingkat merupakan keputusan terbaik kerana ia menepati janji PH kepada rakyat.

“Pelaksanaan pemansuhan tol tersebut tidak memudaratkan kesihatan fiskal kerajaan Pusat.

“CIMB Research pada 25 Februari baru-baru ini telah menyatakan bahawa rundingan pengambilalihan tol antara kerajaan dengan Gamuda akan dilakukan secara ‘willing buyer-willing seller’ dan bukannya secara paksa.

“Pemuda AMANAH mengalu-alukan urusan tersebut kerana ia membuktikan kerajaan pro-perniagaan serta peka dengan sentimen pihak swasta dimana ia memberi isyarat positif kepada komuniti pelaburan tempatan dan antarabangsa melibatkan keterbukaan kerajaan PH, katanya lagi.

Sehubungan itu saran Faiz, rakyat diharapkan dapat memberi ruang yang secukupnya kepada kerajaan bagi menamatkan bayaran tol secara berperingkat kerana ia melibatkan masa dan kos yang tinggi.

“Maybank Research sebelum ini menjangkakan kerajaan mungkin terpaksa membayar sekurang-kurangnya RM79 bilion sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol bagi mengambilalih kesemua laluan tol dalam negara ini.

“Walaupun diakui kos pengambilalihan tol adalah tinggi, namun ia lebih afdal jika dibandingkan pembayaran subsidi tol bagi mengelakkan kenaikan kadar tol sepertimana yang dilaksanakan oleh BN sebelum ini.

“Yang jelas, dalam jangka masa panjang, kesungguhan kerajaan PH mengambilalih tol akan memberikan penjimatan terbaik bagi pembayar cukai, ” kata Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir.