Malaysia Dateline

Hapuskan broker projek lesen kelas G1, G2, kata Adun Senggarang

Ahli Dewan Undang Negeri (Adun)  Senggarang, Khairuddin A Rahim menyuarakan kekesalan susulan wujudnya golongan broker yang mendapatkan projek melibatkan lesen-lesen kelas G1 dan G2 di daerah Batu Pahat, Johor.

Jelas beliau lagi, perkara itu bertentangan dengan dasar yang dibawa oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang mahu memberi peluang kepada kontraktor yang lain.

“Orang tengah (broker) tersebut mampu menentukan ‘cut-off value’ setiap sebut harga dan akhirnya projek tersebut akan menjadi milik kumpulan mereka melalui cara ini.

“Ia menutup peluang kepada kontraktor yang masuk sebut harga tidak secara berkumpulan dan tidak melalui broker. Sistem dan cara ini perlu ada penambahbaikan dari pihak jabatan,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada masa yang sama, Khairuddin juga telah menyatakan beberapa cadangan penambahbaikkan dalam sistem sebut harga.

“Perlu dipilih secara undi, pembelian sebut harga tidak boleh diwakilkan, temuduga perlu diadakan dan hitungan markah 80 peratus ke atas saja yang layak untuk projek berkenaan.

“Selain itu, panel haruslah dari golongan profesional, maklumat kontraktor perlu dikemas kini pada setiap masa di peringkat daerah, pembabitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam mesyuarat pemilihan dan tubuhkan pasukan pemantau dari Badan Pembangunan Kontraktor Usahawan.

“Perkara ini adalah untuk mengelakkan pelbagai pertikaian yang boleh berlaku selain perkara pokoknya memberikan keadilan serta membunuh korupsi, rasuah dan broker,” ujarnya.