Hapuskan pencen bukan untuk jejas orang Melayu, ahli politik juga tidak terkecuali – PMX

Oleh MAISARAH AISYA

Isu untuk hapus pencen buat penjawat awam masih lagi menjadi bualan ramai apatah lagi bila pembangkang menggunakan perkara sama untuk menghentam kerajaan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pengambilan penjawat awam baharu adalah secara kontrak untuk tempoh singkat.

Bagaimanapun Kabinet akan meluluskan dasar pengambilan baharu secara tetap tetapi tidak berpencen.

Disebabkan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pencen dihapus bukanlah untuk menjejaskan nasib orang Melayu.

Memetik BERNAMA, Anwar memaklumkan langkah tersebut sudah dikaji sejak tahun 90-an lagi dan kerajaan memaklumkan sudah ada rancangan baru.

Rancangan baru itu bertujuan untuk mengganti skim bagi mengelakkan negara daripada risiko muflis dan memberi masalah kepada generasi akan datang.

“… malah sudah puluhan tahun dikaji, kalau tak silap saya 90-an dulu sudah dikaji, tetapi tidak ada tekad politik untuk buat (laksanakan).

“Pembangkang cakap hapuskan pencen akan seksa orang Melayu, (dakwa) ini semua cadangan DAP, dan ini yang terus dikemukakan dan tidak berbicara soal fakta kemudian guna agama, tunggang agama,” katanya seperti dipetik BERNAMA.

Ahli politik tidak terkecuali

Pada masa sama Anwar berharap ahli-ahli politik baru perlu menerima kenyataan bahawa mereka juga tidak mempunyai pencen.

Ini termasuk mereka yang bakal menjadi calon untuk bertanding di mana-mana kerusi pada pilihan raya akan datang.

“Jika selepas ini, mereka tidak mahu bertanding PRU (Pilihan Raya Umum) kerana tiada lagi pencen, itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Kenaikkan kadar gaji bergantung pada kemampuan kerajaan

Dalam pada itu, beliau memaklumkan komitmen kerajaan akan menaikkan kadar gaji penjawat awam mengikut kemampuan kerajaan.

“12 tahun penjawat awam kerja tidak ada penilaian, tidak ada komitmen untuk perbaiki kadar upah dan gaji mereka.

“Kita telah putuskan walaupun ada kekangan kewangan perkara ini (naikkan gaji penjawat awam) kita tidak boleh tunggu.

“Dengan kos sara hidup dan gaji yang tak naik kerajaan tetap ada komitmen tingkatkan kadar upah penjawat awam di negara kita,” katanya.