Hapuskan sahaja Kementerian Wilayah Persekutuan

Hapuskan sahaja Kementerian Wilayah Persekutuan

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk 10 kementerian penting dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan supaya Kementerian Wilayah Persekutuan dihapuskan dan peruntukan besar yang diberikan kepada kementerian tersebut boleh disalurkan bagi membantu masyarakat bandar yang miskin, memperbanyakkan bas dan meluaskan laluan bas untuk kegunaan awam.

“Pada masa sama, Peguam Negara dan juga pihak berkuasa yang lain perlu segera meneliti transaksi melibatkan 64 keping tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dijual atas restu Tengku Adnan Tengku Mansor (Ku Nan) untuk memastikan sama ada treansaksi tersebut wajar.

“Keterikatan pada Akta Rahsia Rasmi bagi perjanjian-perjanjian ini perlu dibatalkan supaya ia dapat diteliti oleh awam, khususnya berhubung projek pembinaan kondominium mewah di Taman Rimba Kiara,” kata beliau dalam kenyataan medianya semalam.

Kata Lip Eng, sebagai Ahli Parlimen DAP di Kuala Lumpur, beliau menuntut supaya pilihan raya kerajaan tempatan diadakan dalam Majlis Bandaraya Kuala Lumpur.

“Sebagai kotaraya pusat, DBKL perlu mewujudkan trend bagi pilihan raya majlis perbandaran tempatan di seluruh negara.

“Dalam mana-mana kotaraya yang demokratik dan bertamadun di dunia, datuk bandarnya dipilih oleh rakyat, dan Kuala Lumpur tidak berkecuali,” kata beliau.

Tambahnya, beliau akan membincangkan perkara ini dengan Ahli Parlimen lain di Kuala Lumpur dan agensi kerajaan dan akan mengemukakan rangka kerja bagi pilihan raya perlantikan datuk bandar dan ahli majlisnya dalam masa 100 hari.