Malaysia Dateline

Hapuskan sekolah vernakular, sekolah kebangsaan jadi sistem pendidikan tunggal

Menjulang sistem pendidikan tunggal menjadi perkara ketiga disebutkan dalam Sumpah Anak Watan yang diikrarkan pada Kongres Maruah Melayu di Shah Alam, hari ini.

Berasaskan Perlembagaan Persekutuan, empat perkara lain yang turut dibacakan ialah mempertahankan Islam agama bagi Persekutuan; memperkasakan bangsa Melayu teras negara; mengimbangi ekonomi negara dan memartabatkan budaya kebangsaan.

Terdahulu pembentang bagi Kluster Pendidikan menuntut agar pelaksanaan sekolah vernakular yang tidak memupuk perpaduan dihapuskan secara berperingkat dalam tempoh enam tahun.

Wakil dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurul Fatin Aqilah Rahim berkata, sekolah kebangsaan sebaliknya perlu diperkukuhkan bagi menyatukan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Ujarnya, kerajaan harus terus komited kepada agenda memperkasakan sekolah kebangsaan kerana hanya sekolah satu aliran dapat mendidik serta memupuk integrasi nasional dalam kalangan generasi seterusnya, yang bakal mewarisi negara ini.

Nurul Fatin Aqilah Rahim

Nurul Fatin menegaskan sekolah vernakular yang tidak mampu menyatukan rakyat itu boleh dimansuhkan sepenuhnya menjelang 2026.

Beliau berkata, langkah itu boleh dilakukan dalam tempoh enam tahun sahaja jika kerajaan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah berkenaan.

“Gunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar untuk murid tahun satu pada tahun 2021, tahun dua untuk 2022 dan seterusnya, sehingga 2026. Menjelang tahun 2026, semua sekolah menjadi satu aliran,” jelasnya.

Menurutnya, langkah menghapuskan sekolah aliran Cina dan Tamil itu penting demi perpaduan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Di setiap sekolah vernakular, contohnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, mereka menggunakan bahasa pengantar berbeza.

“Oleh sebab itu resolusinya, pemansuhan sekolah vernakular dalam tempoh enam tahun bertepatan kerana pendidikan telah dikenalpasti sebagai satu kunci utama kepada alat penyatuan perpaduan,” ujarnya lagi.

Resolusi berkaitan pendidikan itu kemudiannya diserahkan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bersama-sama kluster agama, politik, ekonomi dan budaya.

Resolusi lima perkara diserahkan kepada Tun Dr Mahathir.