Hapuskan semua akta terkait kebebasan media tanpa perlu garis  panduan

Hapuskan semua akta terkait kebebasan media tanpa perlu garis panduan

Kartunis politik kontroversi Zunar mahu kerajaan Pakatan Harapan (PH) menghapuskan semua undang-undang berkaitan dengan kebebasan media tanpa menetapkan garis panduan bagi mengantikan akta yang dimansuhkan.

Beliau berkata, kerajaan tidak wajar menentukan garis panduan tersebut kerana pengamal media seharusnya berpegang kepada etika dan perlu bertanggungjawab ke atas medium penerbitan mereka.

“Tidak wajar kerajaan untuk menentukan apa media perlu tulis, atau nak lukis atau nak siar.

“Malahan tidak perlu ada peraturan (garis panduan) untuk pengamal media harus lakukan cara begini dan begitu.

“Kerajaan Pakatan Harapan harus pisahkan pengamal media daripada pengaruh sebuah kerajaan. Ini kerana kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) mengawal pengamal media, syarikat penerbitan dan pencetak,”ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai hasrat kerajaan PH untuk menyemak semula Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan besar kemungkinan akan dibatalkan bagi membolehkan media negara ini dibebaskan.

Bagaimanapun Dr Mahathir berkata, kemungkinan turut dibatalkan semua lesen penerbitan tetapi akan diadakan garis panduan agar tidak ada mana-mana pihak yang melanggar batasan.

Zunar pernah menghasilkan buku anti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (PPPA) yang bertajuk ‘Lawak dan Lawan’ sebagai tanda protes terhadap akta tersebut yang dianggapnya menyekat kebebasan bersuara.

Beliau memadamkan nama pencetak buku tersebut sekaligus melanggar Seksyen 11 (2) PPPA yang mewajibkan nama kilang pencetak dicetak dalam setiap bahan penerbitan.

Tambah Zunar atau nama sebenar Zulkiflee Anwar Ulhaque, Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang turut dianggap menyekat kebebasan media, beliau berkata, hanya rakyat dan undang-undang sedia ada, sudah mencukupi untuk memastikan sesuatu berita itu palsu atau fitnah.

“Rakyat yang akan menentukan sama ada pengamal media atau sesuatu penerbitan itu bermanfaat atau tidak kepada pengikut atau pembacanya bukan kerajaan yang memerintah.

“Akta AntiBerita Tidak Benar sepatutnya tidak perlu dikaji (diberi definisi) ia amat perlu dihapuskan.

“Jika mereka memfitnah atau menghasut kita ada undang-undang lain yang cukup untuk diambil tindakan oleh kerajaan tidak perlu pula mengubal rang undang-undang baharu,” ujarnya.

Beliau berpandangan kebebasan media ini membawa maksud pengamalnya perlu lebih beretika dan bertanggungjawab dalam semua medium penerbitan.

“Etika sesuatu yang subjektif maksudnya, tetapi ia tidak akan melepasi batasan, selagi kita bertanggungjawab dengan cara kita.

“Saya sebagai kartunis saya beretika dan bertanggungjawab dengan apa yang saya lukis untuk saya pertahankan.

“Bagi orang yang tidak bertanggungjawab akan diheret ke mahkamah. Tetapi sama ada hasil lukisan atau tulisan itu melanggar etika atau tidak, biar mahkamah menentukan.

“Kerajaan tidak perlu ‘menghukum’ kerana bersandarkan kepada tafsiran mereka yang boleh disangsikan,” ujarnya yang pernah disabitkan di bawah Akta Hasutan 1948.

Justeru beliau menegaskan tertubuhnya kerajaan baharu PH ini,tidak bermakna beliau akan berhenti mengkritik melalui lukisannya.

“Saya akan mengkritik kerajaan Pakatan Harapan cuma sekarang saya harus bersikap adil kerana kerajaan ini masih baharu bukan mengambilalih kuasa daripada sebuah ‘kerajaan’ tetapi sebuah ‘rejim’.

“Ini bermaksud proses pembersihan memakan masa yang panjang belum dapat dilihat lagi bagaimana kerajaan Pakatan Harapan ini menentukan hala tuju kerajaan baharu yang terancang.

“Bagi peluang sikit supaya mereka selesaikan masalah yang dihasilkan rejim terdahulu.

“Saya akan terus kritik kerajaan Pakatan Harapan jika mereka buat salah atau kelihatan akan menjadi sama seperti kerajaan BN,” ujarnya.

PH yang memenangani Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu telah membentuk kerajaan baharu Malaysia.

Dalam janji 100 hari manifesto pilihan raya PH turut menyenaraikan berazam untuk memansuhkan dan meminda 10 akta.

Lima akta yang akan dimansuhkan adalah Akta Hasutan 1948;Akta Pencegahan Jenayah 1959;Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984;Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971;Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 dan; hukuman gantung mandatori dalam semua akta di negara ini turut dimansuhkan.

Selain itu lima lagi akta akan dipinda beberapa peruntukan yang terdapat di dalam Akta Kanun Keseksaan 1977;Akta Komunikasi dan Multimedia;Akta Kesalahan keselamatan Langkah-langkah Khas 2012 (Sosma);Akta Perhimpunan Aman 2012 dan; Akta
Pencegahan Keganasan 2015 (Pota).

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS