Haram bagi ahli Pas jika tidak keluar mengundi di Kuala Kubu Baharu – Takiyuddin

Oleh WAN SITI AMINAH

Parti Pas menyeru semua ahlinya terutamanya mereka yang mengundi di Kuala Kubu Baharu untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Sabtu ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, adalah haram bagi mana-mana ahli Pas di kawasan berkenaan untuk tidak turun mengundi.

Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu berkata sedemikian ketika berceramah dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Ceramah perdana di Taman Ampang Pecah, Kuala Kubu Baharu yang dilangsungkan kelmarin itu turut dihadiri oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN, lapor Malaysia Gazette.

“Saya menyeru terutamanya rakan dari Pas. Haram bagi ahli Pas jika tidak keluar mengundi di Kuala Kubu Baharu. Bukan satu fatwa, (tetapi inilah) penegasan kita.

“Kalau Tok Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) sebut (yang mengundi itu) fardu ain, jadi samalah itu dengan haram kalau kita tak buat.

“Pastikan kita, keluarga kita, rakan dan juga jiran kita mengundi calon Khairul Azhari Saut,” kata Takiyuddin dalam ceramah berkenaan memetik laporan Malaysia Gazette.

Turut kelihatan dalam acara tersebut adalah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ketua Pengarah PRK Kuala Kubu Baharu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun.

Jelas Takiyuddin, seruan itu adalah arahan dikeluarkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan ahli perlu mematuhinya seperti yang jelas termaktub dalam Pelembagaan parti.

“Tidak (ada salah faham) sebab di dalam Pelembagaan Pas sendiri itu ada bahawa arahan daripada parti adalah satu yang perlu dipatuhi. Tidak mematuhi satu arahan itu boleh dikenakan tindakan displin.

“Jelas dalam Pelembagaan Pas. Arahan dan peraturan yang dibuat perlu dipatuhi,” tegasnya bagi memastikan kemenangan calon PN dalam PRK yang bakal berlangsung pada Sabtu ini.

Ketika ditanya sekiranya arahan tersebut boleh disifatkan sebagai fatwa oleh Abdul Hadi, Takiyuddin menjawab bahawa ia terpulang kepada interpretasi mana-mana pihak.

Baca juga: Isu salah guna kuasa MB Perlis, Takiyuddin tegas tak perlu pecat selagi tak bersalah